Bil elektrik tentukan golongan subsidi RON95 - Laporan

Astro Awani
September 28, 2019 19:09 MYT
Kata Chong, cadangan mekanisme subsidi petrol RON95 akan dibawa ke Kabinet bulan depan. - REUTERS/Fail
Kerajaan bercadang menggunakan bil elektrik bagi menentukan golongan yang layak menerima subsidi petrol RON95.
Memetik laporan Sin Chew Daily, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata, hanya golongan dalam kategori B40 dengan bil elektrik bulanan antara RM100 dan RM200, layak mendapat subsidi tersebut.
"Penggunaan bil elektrik ialah hanya sebagai rujukan," kata Chong dalam satu temuramah eksklusif dengan surat khabar itu.
Katanya, cadangan bagi mekanisme itu akan dibawa ke Kabinet bulan depan.
Menurut Chong, mereka yang layak boleh pilih untuk menikmati subsidi bulanan sebanyak RM30 atau subsidi sebanyak 30 sen untuk setiap liter petrol RON95 sehingga 100 liter setiap bulan.
Bagi penunggang motosikal, subsidi akan diberi sebanyak RM12 setiap bulan.
Tambahnya, wang akan dimasukkan terus ke akaun penerima.
Mekanisme subsidi bersasar bagi minyak petrol RON95 sebelum ini dicadangkan untuk dilaksanakan pada Julai tahun ini tetapi ia ditangguhkan.
Ketika ini, Kerajaan secara purata membelanjakan RM133 juta setiap minggu untuk subsidi minyak.
#Chong Chieng Jen #RON95 #subsidi minyak #subsidi petrol
;