Bil air anda tinggi? Ini penjelasan Air Selangor

Ridauddin Daud
Jun 10, 2020 18:21 MYT
Para pelanggan tidak perlu bimbang sekiranya telah membuat pembayaran bil pada bulan Mei dan mendapati bil yang dikeluarkan sebelum ini terlebih caj. - Gambar EPA
MEMAHAMI keluhan rakyat yang mendakwa bil air di Lembah Klang meningkat, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tampil memberikan penjelasan berhubung isu tersebut.
Ketua Komunikasi Korporatnya, Elina Baseri berkata, pengiraan bil Air Selangor adalah berdasarkan kepada garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Menurutnya, garis panduan itu menetapkan pengiraan air semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah secara anggaran itu berdasarkan kepada rekod penggunaan normal premis pelanggan pada bulan-bulan sebelumnya.
“Saya kongsikan contoh bacaan anggaran yang diguna pakai Air Selangor. Sebagai contoh, anggaran penggunaan air sebanyak 20 meter padu digunakan untuk bulan Mac dan April, berdasarkan bacaan bil normal penggunaan air pada bulan-bulan sebelumnya.
“Sekiranya jumlah penggunaan air anda selama tiga bulan (Mac - Mei) adalah 90 meter padu, jumlah ini akan dibahagikan kepada tiga bulan kepada 30 meter padu sebulan, bersamaan RM21.70 sebulan atau RM65.10 untuk tiga bulan,” katanya kepada Astro AWANI.
Tambahnya, sekiranya mengikut anggaran bil air sebelum pelarasan PKP, jumlah harga bil air untuk tiga bulan ialah RM79.65 kerana kiraan penggunaan air pada bulan Mei termasuk pengiraan tarif RM2 bagi setiap meter padu.
“Kaedah pengiraan bila air semasa pelarasan PKP pula adalah RM79.65 tolak RM65.10 bersamaan Rm14.55. Lebihan bayaran yang telah dibuat berdasarkan bil bulan Mei 2020 akan dikreditkan dalam bil akan datang selepas pelarasan dibuat.
“Sebagai contoh sekiranya bil air bulan Jun 2020 anda adalah Rm21.70, caj yang perlu dibayar hanya RM7.15. Pengiraan ini berdasarkan bil sebenar tolak kredit pelarasan,” katanya.
Jelas Elina, pengiraan bil Air Selangor berbeza sebelum ini kerana tidak membuat pengiraan secara purata untuk bil anggaran dan bil air sebenar pada Mei 2020.
Tambahnya, Air Selangor juga menjangkakan pelarasan itu akan selesai pada Julai 2020 kerana kitaran bil lengkap akan ambil masa sebulan selain pelarasan itu melibatkan 2.4 juta di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Para pelanggan tidak perlu bimbang sekiranya telah membuat pembayaran bil pada bulan Mei dan mendapati bil yang dikeluarkan sebelum ini terlebih caj.
“Jumlah terlebih bayar itu akan direkodkan dalam akaun pelanggan dan ditolak sekiranya jumlah adalah mencukupi untuk bayaran bil pada masa akan datang,” katanya.
BACA: Air Selangor laksana garis panduan baharu mulai Jun
BACA: PKP: Air Selangor laksana pelarasan kiraan bil air
Tambahnya, pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan mengenai bil tinggi digalakkan berhubung dengan Air Selangor melalui medium tersedia.
Sebelum ini pada 31 Mei lepas, SPAN telah mengeluarkan suatu garis panduan bagi kiraan bil air untuk menganggarkan penggunaan air sebenar semasa PKP.
Berdasarkan garis panduan itu, bacaan penggunaan air sebenar pada bulan setelah pembacaan meter sebenar di premis pengguna akan di pro rata kepada bulan-bulan di mana bil air adalah dicaj secara anggaran.
#air #Air Selangor #Astro #Astro Awani #Kuala Lumpur #perintah kawalan pergerakan #PKP #Putrajaya #rakyat #SPAN #Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara
;