BiKUM beri akaun SSPN-i percuma kepada mangsa banjir - Shamsul Anuar
Bernama
November 11, 2017 10:25 MYT
November 11, 2017 10:25 MYT
Biro Kebajikan UMNO (BiKUM) akan memberi akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) percuma kepada lebih 3,000 pelajar Tahun 1 yang terlibat dengan bencana banjir di Pulau Pinang.
Pengerusi BiKUM Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata BiKUM telah memberikan sumbangan kepada kira-kira 7,000 keluarga di 11 kawasan di Pulau Pinang yang terlibat dengan bencana itu terutama di Kepala Batas, Permatang Pauh dan Tasek Gelugor.
"Kami juga memberi pelbagai sumbangan dan rawatan perubatan percuma melalui BiKUM Medic Team. BiKUM juga menyumbang kepada lebih 3,000 pelajar Tahun 1 akaun SSPN-i percuma dengan jumlah sumbangan bernilai RM320,000 secara keseluruhannya," katanya pada program UMNO Bantu Rakyat 2.0 di sini hari ini.
Beliau yang juga pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkata peminjam PTPTN yang terlibat dalam bencana banjir juga akan diberi kelonggaran dalam soal bayaran balik dan mereka perlu mengemukakan bukti bahawa mereka terlibat dengan bencana itu.
"Apa pun BiKUM memahami apa yang kita sumbangkan ini tidak sebesar mana, namun ia adalah tanda rasa simpati kita kepada mereka yang mengalami musibah dalam bencana itu," katanya.
-- BERNAMA