Big Blue perkenalkan teksi elektrik Mei ini

Asyraf Roslan, Faris Danial Razi
Mac 26, 2019 14:37 MYT
Sebelum Julai 2019, Big Blue dijangka mengeluarkan 1,000 unit sehingga 5,000 unit kenderaan untuk beroperasi sepenuhnya di Malaysia - Gambar Astro AWANI/Faris Danial/
Dalam membuat perubahan dalam industri teksi dan kereta sewa, Big Blue Capital (M) Sdn Bhd (Big Blue) bakal melancarkan kenderaan e-hailing elektrik yang pertama di dunia.
Kenderaan yang diberi nama Zeno itu akan mempunyai empat segmen iaitu kompak, salon, SUV dan MPV.
Menurut Pengarah Big Blue Capital (M) Sdn Bhd, Datuk Shamsubaharin Ismail, pengeluaran kereta elektrik ini merupakan satu kerjasama antara Malaysia dan China.
"Kita telah mengadakan tiga usahasama dengan syarikat terbesar di China di mana mereka merupakan syarikat teknologi kereta elektrik yang terkenal di dunia yang menghasilkan kenderaan-kenderaan elektrik," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Wisma Central, Jalan Ampang, pada Selasa.
Antara ciri istimewa Big Blue Taxi adalah ia dilengkapi sistem keselamatan seperti kamera litar tertutup (CCTV), kamera papan pemuka (dashcam) dan juga butang kecemasan yang terus berhubung kepada pihak keselamatan.
Tambahnya, pengguna yang menggunakan perkhidmatan Big Blue Taxi juga mendapat perlindungan insurans.
Selain itu, Big Blue Taxi turut memperkenalkan token untuk pengguna mendapatkan potongan harga di setiap gedung yang bekerjasama dengan Big Blue Taxi di samping mendapat potongan harga untuk penggunaan seterusnya.
Sebelum Julai 2019, Big Blue dijangka mengeluarkan 1,000 unit sehingga 5,000 unit kenderaan untuk beroperasi sepenuhnya di Malaysia.
Antara lokasi tumpuan Big Blue Taxi adalah Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang , Kuantan dan juga Pulau Langkawi.
#Big Blue Capital #big blue taxi #China #E- Hailing #Kuala Lumpur #Malaysia #pengangkutan awam #teksi
;