Bidang teknikal kekal relevan, berkembang selari IR4.0 - PM Ismail Sabri
Bernama
Disember 4, 2021 13:25 MYT
Disember 4, 2021 13:25 MYT
KUALA LUMPUR: Bidang teknikal kekal relevan dan terus berkembang luas selari dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata untuk itu, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM6.6 bilion dalam Belanjawan 2022 untuk memperkasa bidang Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional atau TVET.
“Bidang ini sering disalah erti sebagai pilihan kedua dan hanya layak untuk individu yang kurang cemerlang dari segi pencapaian akademik. Sebenarnya, stigma itu sudah lapuk kerana graduan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan TVET, sebenarnya kian mendapat perhatian oleh majikan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan sambutan Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2021, yang diadakan secara maya hari ini.
Ismail Sabri berkata negara kini mempunyai banyak syarikat berteraskan teknologi yang bertaraf dunia dengan majoritinya dipelopori warga profesion teknikal.
Justeru itu, Perdana Menteri berkata peluang pekerjaan berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan TVET amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan oleh Keluarga Malaysia terutamanya golongan muda.
Beliau berkata peluang berkenaan adalah hasil perancangan teliti yang dilakukan kerajaan sejak 2013 bermula dengan pengenalan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara yang menggalakkan penggunaan teknologi termaju bagi melahirkan tenaga kerja profesional teknikal mahir dan berketerampilan.
Katanya, sehingga tahun ini, Malaysia telah mempunyai sejumlah 203,966 keanggotaan berdaftar dalam pelbagai bidang kemahiran berkaitan profesion teknikal.
Ismail Sabri berkata pelbagai inisiatif dan strategi yang berkait rapat dengan bidang teknikal telah diketengahkan kerajaan melalui dasar-dasar yang komprehensif dan holistik, yang mengambil kira pelbagai pandangan dan nasihat pakar.
Pandangan dan nasihat berkenaan meliputi daripada Kementerian Kerja Raya, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan agensi teknikal negara iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Pada masa yang sama, Perdana Menteri berkata pandangan daripada pihak swasta dan juga penggiat industri turut tidak diketepikan.
“Ia bertujuan bagi memastikan bidang teknikal negara kekal mampan dan berdaya saing. Seiring dengan era Revolusi Industri 4.0, ekonomi global juga sedang giat mengalami transformasi melalui pencapaian baharu teknologi yang merentasi alam fizikal, digital dan biologi.
“Kemunculan teknologi baharu seperti automasi, robotik, kecerdasan buatan (A-l), Mesin ke Mesin (M-2-M) dan internet benda (l-o-T) mengubah cara dunia beroperasi,” katanya.
Ismail Sabri berkata bagi memastikan negara tidak ketinggalan dengan arus perubahan dan ledakan teknologi, kerajaan telah memperkenalkan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara.
Dasar berkenaan merupakan inisiatif yang melambangkan aspirasi kerajaan mentransformasi Malaysia ke arah pembangunan sosio-ekonomi negara yang inklusif dan mampan, berpacukan pendigitalan, seterusnya menjadi peneraju serantau dalam ekonomi digital.
Beliau berkata dasar itu juga menyokong dasar-dasar pembangunan negara seperti Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) dan melengkapi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).
“Amat jelas di sini, inisiatif dan dasar yang saya sebutkan amat signifikan dengan semua lapisan profesion teknikal negara.
“Warga profesion teknikal berperanan penting untuk bersama-sama mengembleng tenaga ke arah menggerakkan negara dan melangkaui aspirasi rakyat dalam semua bidang pembangunan teknikal seperti kejuruteraan, kesihatan, penyelidikan, pendidikan, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan sebagainya, bertepatan dengan tema sambutan HPTN 2021 iaitu ‘Menggerakkan Negara Melangkaui Aspirasi’,” katanya.
Ismail Sabri turut menyambut baik hasrat Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali yang mahu mencapai perkhidmatan awam berprestasi tinggi melalui pemimpin yang berkepakaran, berinovasi dan berani menghadapi cabaran bersandarkan nilai integriti, akauntabiliti dan ketelusan.
Justeru itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada warga profesion teknikal untuk mengisi jawatan strategik dan pembuat dasar negara, yang secara tradisinya diisi oleh golongan pengurusan, dalam merealisasikan perkhidmatan awam berprestasi tinggi.
“Saya yakin hasrat ini dapat direalisasikan kerana Malaysia mempunyai ramai bakat yang telah diiktiraf di pentas antarabangsa seperti Cik Fakhirah Khairuddin, Jurutera Mekanikal TESLA Inc. Amerika Syarikat dan Encik Mohammad Ruhaidi Abdul Rashid Jurutera Struktur, Pakar Rekabentuk dan Pengurus Kanan Teknikal di BMW Motorsport Jerman,” katanya.
Bagi sektor awam, Perdana Menteri berkata Malaysia juga boleh berbangga dengan agensi teknikal kerajaan seperti JKR, yang banyak berjasa kepada pembangunan infrastruktur negara dengan melaksanakan lebih RM500 bilion projek pembangunan infrastruktur sejak ditubuhkan pada 1872.
Antaranya adalah mempelopori penggunaan 'Building Information Modeling’ (B-I-M), ‘I-Supervision’ dan e-Perolehan dalam pelaksanaan projek.
“Ini pastinya sebagai pemangkin serta ‘enabler’ kepada pelaksanaan teknologi IR4.0 yang berimpak tinggi seperti ‘3D Printing’, ‘I-o-T’, ‘Big Data’, ‘Virtual Reality’ dan ‘Augmented Reality’,” katanya.
Ismail Sabri berkata perkembangan global terkini khususnya IR4.0 yang berpaksikan kepada teknologi terkini dan menyasarkan persekitaran industri, ekonomi dan kehidupan yang lebih pantas, pintar dan dinamik, memerlukan negara memastikan para pekerja bidang teknikal dilengkapi dengan kemahiran terkini secara ‘upgrade’ dan ‘upscaling’, berdasarkan perkembangan teknologi dan keperluan industri masa hadapan.
Katanya, Malaysia juga perlu realistik dengan kemampuan generasi muda untuk diberikan pendedahan dan menyumbang kepakaran teknikal ke pentas antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama negara seantero dunia.
“Kerajaan bertekad mengukuhkan iltizam menjadikan Malaysia sebuah negara membangun seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil, saksama dan inklusif selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob
#teknikal
#Hari Profesion Teknikal Negara
#TVET
#Perdana Menteri
#revolusi industri 4 0