Bidang pekerjaan yang mungkin tidak mampu 'dirampas' AI, jom semak!
Agensi
Mei 8, 2023 21:23 MYT
Mei 8, 2023 21:23 MYT
NEW YORK: Sejak bermulanya revolusi teknologi dalam beberapa industri pekerjaan, wujud beberapa ‘ancaman’ apabila teknologi dilihat mampu mengambil alih tugasan manusia.
Dari mesin tenun hingga mikrocip, pendekatan teknologi canggih dilihat bakal menjadi alternatif kepada penyelesaian masalah malah menjimatkan masa dan tenaga pada zaman pendigitalan ini.
Laporan Goldman Sachs pada Mac 2023 menjangkakan bahawa teknologi kecerdasan buatan (AI) mampu menghasilkan kandungan satu per empat dari pekerjaan manusia.
Selain itu, laporan memaklumkan bahawa di seluruh Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat, 300 juta pekerjaan dijangka ‘pupus’ disebabkan bantuan teknologi.
Pengarang Rule of the Robots: How Artificial Intelligence Will Transform Everything, Martin Ford, situasi ini boleh menjadi ‘malapetaka’ namun bukan untuk semua sektor pekerjaan.
Beberapa pakar memberitahu bahawa masih ada pekerjaan yang mana kecerdasan buatan tidak mampu lakukan terutama melibatkan kemampuan manusia khas untuk berfikir di luar kotak.
Bidang Kreatif
Sektor pekerjaan yang dimaksudkan adalah bidang kreatif - yang bukan hanya mengubah susunan ayat atau gambar tetapi dalam bidang cetusan idea dan mewujudkan pelan baharu.
Namun, ini tidak bermakna semua pekerjaan 'kreatif' adalah selamat. Jawatan pereka grafik dan seni visual mungkin menjadi antara yang terawal ‘pupus’; Algoritma asas boleh mengarahkan bot menganalisis jutaan imej, membolehkan AI menguasai estetik dengan segera.
Bidang Perubatan, Undang-Undang
Wujud sedikit jaminan dalam jenis kreativiti yang lain iaitu dalam bidang sains, perubatan dan undang-undang termasuk pekerja mencipta strategi undang-undang atau strategi perniagaan baharu.
“Saya fikir akan terus ada tempat di bahagian ini untuk manusia terus bekerja,” ujar Ford.
Pekerjaan memiliki interaksi ‘rumit’
Pekerjaan yang memerlukan hubungan ‘interpersonal’ yang rumit seperti kerja jururawat, konsultan perniagaan dan wartawan penyiasat. Perkerjaan ini memerlukan pemahaman yang sangat mendalam tentang manusia.
“Saya rasa ia akan mengambil masa yang lama sebelum AI mempunyai keupayaan untuk berinteraksi dengan cara mendalam untuk membina hubungan".
Tambah Ford, pekerjaan yang memerlukan keupayaan dalam keadaan pantas untuk menyelesaikan masalah dalam persekitaran yang tidak menentu juga diramal selamat.
Antara yang dimaksudkan adalah kerja juruteknik, tukang paip, tukang kimpal dan sebagainya.
"Ini adalah jenis pekerjaan di mana anda berurusan dengan situasi baru setiap masa. Ia yang paling sukar untuk diautomatikkan. Untuk pekerjaan seperti ini, anda memerlukan robot fiksyen sains. Anda memerlukan C-3PO dari Star Wars,” katanya.