Bidang komunikasi massa masih relevan di pasaran, perlu modifikasi

Bernama
November 5, 2019 04:51 MYT
Dunia kewartawanan kini semakin mencabar dan memerlukan pengamal media memiliki pelbagai kemahiran kerja selain menguasai dunia digital - Gambar PIXABAY
Bidang komunikasi massa dan kewartawanan masih relevan di pasaran namun perlu dimodifikasi dengan anjakan yang bersesuaian seiring perkembangan teknologi dan dunia digital.
Pengarah Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Prof Madya Datuk Dr Ismail Sualman berkata perubahan itu perlu kerana keinginan masyarakat kini untuk mengetahui perkembangan terkini dan isu-isu semasa pada kadar yang pantas adalah tinggi.
"Komunikasi massa tetap akan ada di pasaran tetapi perlu modifikasi di mana media cetak perlu mengubah pendekatan bukan sahaja menghasilkan berita tetapi juga berita pantas dalam bentuk video dan multimedia supaya berita yang dihasilkan dapat diakses masyarakat termasuk anak muda kerana orang sekarang sudah tidak bersabar lagi.
"Anak-anak remaja sentiasa melihat telefon pintar mereka, itu sebabnya sesuatu maklumat perlu ditukar ke pelbagai bentuk platform maksudnya media cetak, audio, video kena ada termasuk dalam penyiaran dan majalah," katanya kepada pemberita selepas program Kolokium Kritikan Media - Media Digital Merakyatkan Maklumat di UiTM di sini pada Selasa.
Terdahulu, Ismail, Timbalan Ketua Pengarang (Perniagaan dan Kewangan) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Khairdzir Md Yunus dan Ketua Inisiatif Belia dan Media Sosial Astro Awani Hilal Azmi menjadi panel bagi kolokium yang dimoderatorkan oleh Penerima Anugerah Kajai 1985, Abdul Latif Abu Bakar.
Sementara itu, Khairdzir berkata dunia kewartawanan kini semakin mencabar dan memerlukan pengamal media memiliki pelbagai kemahiran kerja selain menguasai dunia digital.
Beliau berkata penyampaian berita kini merangkumi pelbagai tugas berbeza, sekali gus memerlukan pengamal media bukan sahaja menguasai teknologi teks, malah menguasai ilmu audio dan video.
"Wartawan perlu 'multitasking' dan mahir menggunakan teknologi dan kaedah-kaedah baharu khususnya dalam bidang 'kewartawanan bergerak' yang mana mereka perlu menggunakan telefon pintar dan membuat laporan langsung dari tempat kejadian ini antara kemahiran yang perlu mereka pelajari sebelum memasuki bidang pekerjaan ini.
"Melihat perkembangan teknologi serta perubahan teknologi ini yang sangat pantas, sebagai wartawan baharu mereka harus mengikuti perkembangan ledakan digital ini dan seharusnya mereka dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku," katanya.
Sementara itu, seorang pelajar semester tiga Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM, Azib Zikri Abd Halim berkata sebagai penuntut pengajian kewartawanan, dia mengakui teruja menyertai kolokium berkenaan yang secara tidak langsung membuka matanya untuk memahami cabaran sebenar dihadapi industri media massa seiring perkembangan Revolusi Industri 4.0.
"Bagi saya, selaku seorang pelajar Diploma Komunikasi dan Media, program seumpama ini memberikan saya lebih peluang untuk memahami apakah cabaran sebenar dihadapi oleh seorang wartawan pada masa akan datang supaya peluang sebegini dapatlah kami rasa dahulu sebelum kami berpijak di dunia kewartawanan sebenar," katanya.
Kolokium membabitkan 350 pelajar itu menjadi platform kepada pelajar untuk mendapatkan maklumat atau perkongsian antara pengamal media dan pelajar bagi membincangkan isu-isu semasa yang berlaku di tanah air.
-- BERNAMA
#kewartawanan #Komunikasi Massa #Malaysia #Media #media sosial #video
;