Bidang berkait teknologi akan dapat permintaan tinggi - Muhyiddin
Astro Awani
Disember 5, 2020 12:02 MYT
Disember 5, 2020 12:02 MYT
KUALA LUMPUR : Minat generasi baharu perlu dipupuk untuk menceburi bidang berkaitan teknikal meskipun ia kerap dikaitkan dengan istilah 3D iaitu Dirty, Difficult and Dangerous.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, trend masa depan menunjukkan bahawa bidang yang berkait dengan teknologi akan menjadi profesion yang mendapat permintaan tinggi.
Menurutnya, meskipun kerja dalam bidang 3D sering mengundang persepsi negatif namun senario terbaharu ini mampu mengubah landskap pekerjaan di masa hadapan.
“Trend masa depan menunjukkan bahawa bidang yang berkait dengan teknologi akan menjadi profesion berpermintaan tinggi.
“Penggunaan teknologi terkini pula akan mengubah imej 3D ini kepada imej berprestij kerana profesion teknikal menuntut kesarjanaan ilmu dan kepakaran yang mendalam.
“Pastinya mereka yang memilih bidang-bidang teknikal berteknologi tinggi ini akan menjadi rebutan di dalam pasaran pekerjaan di masa hadapan yang memberi pulangan yang besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas sempena Hari Profesion Teknikal Negara (HPTN) 2020 yang disiarkan secara rakaman video menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada Sabtu.
Tambah Muhyiddin, negara kini mempunyai banyak syarikat berasaskan teknologi bertaraf dunia termasuklah Petronas, UEM Group, Pharmaniaga Berhad, Telekom Malaysia, Celcom, Maxis dan banyak lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan terus berusaha memperkukuhkan kualiti lulusan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
“Di peringkat lebih awal, para pelajar sekolah dan belia perlu digalakkan untuk menjadikan bidang-bidang ini sebagai pilihan kerjaya masa depan mereka,
“Ia bukan sahaja demi memenuhi keperluan masa depan perindustrian negara, tetapi untuk melahirkan golongan profesion teknikal yang berdaya maju selari dengan perkembangan global terutamanya ledakan teknologi IR4.0.
“Peluang pekerjaan yang ditawarkan berkaitan jurusan STEM dan TVET sememangnya adalah amat cerah dan tidak seharusnya dilepaskan,” ujarnya.
#Muhyiddin Yassin
#PM
#HPTN
#STEM
#TVET
#3D
#Petronas
#Maxis
#celcom
#UEM Group
#Pharmaniaga
#RTM
#teknologi
#teknikal
#sekolah
#Belia
#menteri
#Perdana Menteri
#pelajar
#Sains
#pendidikan
#Malaysia