Bidang astronomi negara ketinggalan 100 tahun - Pakar

Azib Zikry
Ogos 10, 2024 03:40 MYT
Keperluan untuk menambah baik silibus pendidikan sedia ada tidak boleh melupakan bidang astronomi dan astrofizik yang mempunyai potensi kajian tanpa batasan. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Bidang pendidikan astronomi di Malaysia kini ketinggalan lebih 100 tahun.
Perkara itu dizahirkan Ahli Astronomi & Astrofizik, Sharifah Fetom Syed Zain yang berkata kurangnya galakan dan pendedahan bidang ini di peringkat pendidikan awal merupakan punca mengapa ia masih terkebelakang.
Menurutnya, ia juga merupakan punca mengapa isu ketidakseragaman kaedah penentuan anak bulan masih membelenggu negara kita.
"Pihak Universiti Malaya memaklumkan kepada saya bahawa bidang fizik angkasa di Malaysia ini ketinggalan 100 tahun termasuklah dalam bidang astronomi.
"Kerana itulah (ilmu) pemahaman berkenaan perkara ini di Malaysia menjadi sedikit sukar, antaranya berkenaan penentuan kemunculan anak bulan, kerana kita semua mempunyai perbezaan pandangan dari sudut pendidikan," katanya.
Menurutnya lagi, negara maju yang lain sudahpun memulakan pemahaman dan eksplorasi angkasa menjangkaui ilmu ketamadunan.
Beliau yang merupakan mantan Timbalan Ketua Nazir Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata sistem pembelajaran di Malaysia masih belum berupaya memberikan fokus kepada bidang astronomi yang merupakan pusat disiplin ilmu.
Ini kerana, bidang ini tidak menjadi minat dan pilihan anak muda untuk diterokai sebagai kursus pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, membawa kepada kelompongan keperluan kerjaya.
"Sebenarnya astronomi merupakan kesatuan disiplin ilmu.
"Ilmu fizik, sains, matematik, kimia, biologi, geografi, agama dan bahasa, semuanya mempunyai kaitan dengan bidang astronomi," tambahnya lagi ketika ditemubual dalam program AWANI Pagi berkenaan topik Merungkai Astronomi & Falak.
Sharifah turut berkongsi, jika negara ingin menuju kepada penggalakan pembelajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan & Matematik (STEM), adalah perlu untuk menambah baik silibus pendidikan sedia ada.
Ia boleh dilakukan dengan memasukkan elemen bidang astronomi dan astrofizik yang sebenarnya mempunyai potensi kajian tanpa batasan seperti mengkaji sejarah awal peradaban manusia sehingga ke potensi kehidupan luar planet Bumi.
#pendidikan #Sains #STEM #Astronomi