CYBERJAYA: Nombor pendaftaran istimewa (NPI) bagi kenderaan sifar emisi (ZEV) dengan tanda indeks 'EV' dibuka untuk bidaan selama lima hari bermula hari ini melalui sistem JPJeBid, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.


Ringkasan AI
  • Bidaan Nombor pendaftaran istimewa EV dibuka selama lima hari melalui sistem JPJeBid, khas untuk kenderaan ZEV sahaja.
  • Papan nombor plat ZEV akan mempunyai ciri retro 'reflektif', hologram antiklon, dan teknologi RFID.
  • Harga RM98 satu set, dengan sebahagian pendapatan disalurkan kepada inisiatif rakyat seperti program penukaran topi keledar dan latihan lesen B2 untuk golongan B40.


Loke berkata keputusan bidaan nombor plat itu akan diumumkan dalam tempoh 24 jam selepas proses bidaan tamat 10 malam pada 13 Sept.

Beliau berkata NPI EV itu khas untuk kenderaan ZEV sahaja dan tidak boleh didaftarkan kepada kenderaan bukan ZEV.

"Pemilik kenderaan ZEV yang tidak berminat masih boleh menggunakan mana-mana nombor siri negeri yang biasa untuk didaftarkan kepada kenderaan masing-masing.

"Seperti yang telah dilaksanakan sebelum ini, sebahagian pendapatan daripada NPI akan disalurkan kepada inisiatif rakyat seperti program penukaran topi keledar secara percuma dan latihan lesen B2 untuk golongan B40," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran JPJePlate di sini hari ini.

Loke berkata beberapa piawaian baharu ditetapkan pada papan nombor plat kenderaan ZEV iaitu keterlihatan yang ditingkatkan dengan ciri retro 'reflektif', dilengkapi dengan hologram antiklon untuk meminimumkan risiko kecurian dan penipuan serta mempunyai teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Beliau berkata papan nombor plat berwarna putih dengan tulisan NPI berwarna hitam serta stiker jalur hijau dan Jalur Gemilang pada sebelah kiri papan nombor pendaftaran itu sebagai kod warna bagi kenderaan ZEV.

"Pelaksanaan ini ialah usaha kerajaan untuk memperluas pendigitalan, meningkatkan keselamatan jalan raya dan mewujudkan evolusi baharu dalam sistem pengenalan kenderaan (VIS) pintar," katanya.

Susulan pelancaran JPJePlate itu, Loke berkata syarikat pengeluar dan pengedar kenderaan ZEV boleh mula menempah NPI bagi pihak pelanggan bermula hari ini melalui laman sesawang jpjeplate.jpj.gov.my.

Nombor berkenaan boleh didapati pada harga RM98 satu set termasuk papan plat dan nombor plat hadapan dan belakang, pelekat RFID serta caj penghantaran.

Loke berkata Kementerian Pengangkutan telah mengadakan sesi libat urus dengan pemain industri termasuk Persatuan Automotif Malaysia (MAA) serta syarikat pengeluar dan pengedar kenderaan EV pada 14 Jun lepas.

"Langkah ini bertujuan memastikan inisiatif yang diumumkan ini mendapat maklum balas dan kerjasama baik daripada semua pihak," katanya.

Untuk rekod, sebanyak 12,850 kenderaan EV didaftarkan dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding 5,131 pada tempoh sama tahun lepas.

-- BERNAMA