Bicara saman fitnah Jamil Khir terhadap Akmal 23 Januari tahun depan

Bernama
Mei 10, 2016 12:48 MYT
Pada 19 November lepas, Jamil Khir memfailkan saman itu dan mendakwa Akmal telah memfitnahnya ketika memberi kenyataan kepada media dan di laman web menggunakan nama NOW. - Gambar fail
Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 23 Jan tahun depan bagi perbicaraan kes saman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom terhadap Pengarah National Oversight and Whistleblowers (NOW) Akmal Nasir berhubung dakwaan penggunaan wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bagi membiayai perjalanan ke luar negara.
Hakim Datuk Nor Bee Ariffin menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Adnan Seman mewakili Jamil Khir dan Abd Halim Abdul Karim mewakili Akmal.
Bercakap kepada pemberita selepas itu Adnan berkata hakim juga menetapkan 13 Mei ini untuk pengurusan kes bagi permohonan Akmal membatalkan saman fitnah Jamil Khir terhadapnya.
Pada 19 November lepas, Jamil Khir memfailkan saman itu dan mendakwa Akmal telah memfitnahnya ketika memberi kenyataan kepada media dan di laman web menggunakan nama NOW pada 13 November lepas.
BACA: Akmal Nasir nafi memfitnah Jamil Khir berhubung dana Yapeim
Jamil Khir mendakwa antara kata-kata fitnah itu adalah berkenaan pembiayaan perjalanan ke luar negara, bermain golf dan lawatan ke pusat beli-belah membabitkan kos antara RM410,978 hingga RM590,000.
Menteri itu juga mendakwa Akmal menerbitkan kata-kata fitnah itu tanpa pengesahan terlebih dahulu hingga ia membawa maksud beliau seolah-olah tidak amanah, ahli politik yang menyeleweng dana anak yatim serta menyalah guna kuasa.
Beliau menuntut perintah injunksi bagi menghalang defendan mengeluarkan kenyataan fitnah terhadapnya, ganti rugi am, teruk serta permohonan maaf dalam cara dan bentuk yang diluluskan olehnya sendiri.
BACA: NOW dakwa YAPEIM guna dana anak yatim untuk program kursus kahwin di Paris
#Akmal Nasir #Jamil Khir Baharom #NOW #whistleblower #YaPEIM #Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia
;