Bicara kes rogol Paul Yong bermula di Mahkamah Tinggi Ipoh

Abd Razak Mohd Ali
April 5, 2021 17:24 MYT
Yong pada 23 Ogos 2019 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh terhadap pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berumur 23 tahun. - Gambar/ Astro AWANI
IPOH: Selepas ditangguh beberapa kali sejak lebih setahun lalu, perbicaraan kes bekas Exco Perak, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumahnya pada Julai 2019, bermula di Mahkamah Tinggi Ipoh pada Isnin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tronoh itu tiba di perkarangan mahkamah kira-kira jam 8.45 pagi dengan disambut sorakan kira-kira 30 penyokongnya yang datang dengan sebuah bas.
Perbicaraan dikendalikan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed yang menggantikan Datuk Hashim Hamzah.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Datuk Jamil Aripin yang dibantu Timbalan Pendakwa Raya Liyana Zawani Mohd Radzi dan Ainul Wardah Shahidan, manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh.
Pada pembukaan prosiding, Jamil berkata, pihaknya akan membuktikan kejadian rogol itu berlaku dengan memanggil saksi dan pakar perubatan yang membuat pemeriksaan ke atas mangsa.
Menurutnya, pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan lisan dan dokumen untuk menunjukkan semasa kejadian berlaku, tiada orang lain di rumah tersebut, selain tertuduh dan mangsa yang juga warga Indonesia.
Perbicaraan kes rogol Paul Yong di Mahkamah Tinggi Ipoh bermula
BACA: Exco Perak Paul Yong mengaku tidak bersalah atas tuduhan merogol
BACA: Bicara kes rogol Paul Yong bermula
Menurut Jamil, pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa tidak wujud sebarang konspirasi untuk menganiaya atau menggugat reputasi dan kedudukan tertuduh.
Sebaliknya, kata Jamil pertuduhan yang dikemukakan berdasarkan aduan dan hasil siasatan di bawah peruntukan undang-undang.
Sementara itu, Rajpal pula membuat bantahan mengenai kaedah pembuktian dan penggunaan Akta Perlindungan Saksi 2009 dalam kes tersebut.
BACA: Tuduhan rogol: Paul Yong buat keputusan untuk bercuti
BACA: Bicara kes rogol ADUN Tronoh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi
Bagaimanapun, hakim membuat keputusan supaya prosiding diteruskan kerana kes tersebut telah lama tertangguh.
Prosiding hari pertama menyaksikan pihak pendakwaan memanggil tiga saksi iaitu dua jurufoto dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan seorang pegawai Pejabat Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur.
Prosiding ditangguhkan kira-kira jam 4.30 petang dan akan disambung semula jam 10 pagi Selasa.
Perbicaraan dijadualkan berlangsung selama sembilan hari.
Turut kelihatan hari ini adalah Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.
Yong pada 23 Ogos 2019 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh terhadap pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berumur 23 tahun.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
#Paul Yong #rogol #perbicaraan bermula #Mahkamah Tinggi #rogol pembantu rumah #warga Indonesia #ADUN Tronoh #bekas exco perak #Adun DAP #bekas #duta indonesia
;