Bicara kes rogol ADUN Tronoh dipindahkan ke Mahkamah Tinggi

Astro Awani
Disember 15, 2020 14:13 MYT
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh Paul Yong Choo Kiong (tengah) melambai ke arah pemberita ketika hadir di Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini, bagi perbicaraan kes rogol pembantu rumah warga Indonesia. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan membenarkan perbicaraan kes rogol melibatkan bekas Exco Negeri Perak, Paul Yong Choo Kiong akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi, Ipoh, Perak.
Panel tiga hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membenarkan rayuan Paul Yong selaku perayu selain berpuas hati rayuannya mempunyai merit.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Hakim Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Mary Kim Thiam Suan.
Panel hakim kemudian menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan di Mahkamah Tinggi di Ipoh.
Dalam prosiding itu, Paul Yong diwakili peguam, Datuk Rajpal Singh dan Salim Bashir manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, K. Mangai.
Terdahulu, Tengku Maimun memaklumkan telah membaca hujahan bertulis yang telah difailkan sebelum ini daripada kedua-dua belah pihak dan berpendapat panel tidak perlu lagi mendengar penghujahan secara lisan.
Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Paul Yong untuk memindahkan perbicaraan kes rogolnya ke Mahkamah Tinggi sebelum pasukan pembelaan membuat rayuan di peringkat Mahkamah Persekutuan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu pada 23 Ogos 2019 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Ipoh terhadap pertuduhan merogol pembantu rumahnya warga Indonesia berumur 23 tahun.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di kediamannya di Meru Desa Park antara pukul 8.15 dan 9.15 malam pada 7 Julai tahun lalu.
#Paul Yong #ADUN #ADUN Tronoh #rogol #warga Indonesia #pembantu rumah #Indonesia #mahkamah #Mahkamah Persekutuan #bicara #rayuan #Mahkamah Tinggi
;