Bicara kes rasuah: Bukan sahaja cepatkan, tapi perlu bebas, tiada campur tangan - Anas Zubedy
Harits Asyraf Hasnan
Ogos 6, 2021 17:59 MYT
Ogos 6, 2021 17:59 MYT
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes-kes rasuah bukan sahaja perlu dipercepatkan, malah perlu dilaksanakan secara adil dan telus tanpa campur tangan pihak lain.
Itu pandangan Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn. Bhd, Anas Zubedy susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis.
Ujarnya, ia akan meningkatkan kepercayaan rakyat kepada bukan sahaja kepada institusi mahkamah, malah kepada agensi penguatkuasa dan kerajaan.
“Apa yang paling penting, jangan masuk campur kes-kes mahkamah, tidak kiralah sesiapapun.
“Mahkamah mesti bebas dan jangan sekali-kali dikacau atau cubaan campur tangan dalam kes-kes mahkamah.
“Itu adalah salah satu badan kerajaan yang mesti neutral, mesti buat kerja tanpa apa-apa pengaruh dari luar.
“Ini supaya rakyat mendapat fakta dan kebenaran dan kita tidak mahu rakyat tidak yakin kepada institusi mahkamah atau undang-undang,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Jumaat.
Pada Khamis, Sultan Selangor menyeru supaya perbicaraan kes rasuah disegerakan dan tidak melayani penangguhan kes tanpa alasan yang kukuh.
Menerusi laman Facebook Selangor Royal Office, baginda bertitah bahawa rakyat sudah muak dan bosan melihat proses pendakwaan berlarutan dan terlalu lama.
Sultan Selangor | Titah segerakan perbicaraan kes-kes rasuah
Mengulas lanjut, Anas yang juga Ahli Pasukan Teras Rasuah Busters berkata, sekiranya wujud campur tangan dalam institusi kehakiman, maka ia akan memberi impak negatif terhadap keyakinan rakyat kepada pengasingan kuasa.
“Kita mahu mahkamah betul-betul mencari kebenaran. Kalau benar salah, maka individu itu mesti didapati bersalah.
“Kalau benar tidak bersalah, maka ia benar-benar tidak bersalah. Kita kena terima keputusan mahkamah.
“Kalau ada campur tangan nanti, individu yang benar pun kita tidak yakin, individu yang didapati bersalah pun kita tidak yakin,” tegasnya.
Justeru, tatkala pandemik COVID-19 masih meruncing, beliau memohon supaya ahli-ahli politik terus memberi fokus kepada penyelesaian tiga isu utama iaitu memerangani COVID-19, memulihkan ekonomi dan menangani rasuah.
Perdana Menteri | Ada pihak tidak senang hati
#Anas Zubedy
#perbicaraan kes rasuah
#kes rasuah
#Sultan Sharafuddin Idris Shah
#Sultan Selangor
#undang-undang
#COVID-19
#pandemik
#Rasuah