Bicara kes pecah amanah RM6.6 bilion Najib, Irwan mula Jun 2024

Bernama
September 15, 2023 10:45 MYT
Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 4 Jun hingga 27 Jun dan 2 Julai hingga 31 Julai 2024. - Foto fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes pecah amanah Datuk Seri Najib Razak bersama bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah membabitkan harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion ditetapkan selama 30 hari bermula Jun dan Julai 2024.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi memohon tarikh perbicaraan untuk kes itu ditetapkan pada tahun hadapan.
Mahkamah menetapkan perbicaraan bermula 4 Jun hingga 27 Jun dan 2 Julai hingga 31 Julai 2024.
"Sepanjang bulan Jun dan Julai ditetapkan untuk perbicaraan kecuali Jumaat," kata hakim.
Hari ini sepatutnya ditetapkan untuk pihak pendakwaan memaklumkan berkenaan status representasi yang dikemukakan Najib dan Mohd Irwan untuk menggugurkan enam pertuduhan yang dihadapi mereka. Bagaimanapun perkara itu tidak dimaklumkan semasa prosiding kes itu.
Pada 24 Okt 2018, Najib, 70, dan Mohd Irwan, 66, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).
Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya antara 21 Dis 2016 dan 18 Dis 2017.
Pertuduhan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Terdahulu peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memohon perbicaraan itu bermula pada Julai tahun depan manakala peguam Datuk K. Kumaraendran yang mewakili Mohd Irwan mahu tarikh perbicaraan awal pada Januari 2024 memandangkan kes itu telah memberi kesan kepada anak guamnya selama hampir lima tahun dan menyebabkan tekanan psikologi.
"Saya juga mahu mahkamah mempertimbangkan kesannya kepada anak guam saya. Beliau tidak dapat meninggalkan negara ini atau mengembangkan kerjayanya kerana pertuduhan ini," kata Kumaraendran.
Selain itu, Muhammad Shafee turut membangkitkan isu memo dalaman setebal 12 muka surat yang dikatakan dihantar oleh Ketua Pendakwa Raya dalam kes tersebut, Datuk Jamil Aripin kepada Tan Sri Tommy Thomas yang merupakan Peguam Negara ketika itu.
"Ini telah menjadi perkara awam kerana ia (memo) berada dalam domain awam. Dalam dokumen itu, sepasukan tujuh pendakwa raya (DPP) dan lima pegawai penyiasat sebulat suara memutuskan bahawa kelima-lima pertuduhan itu tidak memenuhi syarat minimum untuk pertuduhan CBT (pecah amanah) dibawa ke mahkamah dan bagi mendapatkan kes prima facie terhadap mereka (Najib dan Irwan).
"Itu adalah pendapat yang sangat mendukacitakan bagi pihak pendakwaan untuk pergi lebih jauh. Untuk membuktikan pembelaan kami, kami meminta DPP mengambil pendirian sama ada dokumen yang bocor ini adalah benar, wujud dan tulen," katanya sambil menambah memo itu relevan kerana pembelaan Najib adalah kes penyalahgunaan kuasa dan penganiayaan politik terutamanya apabila Thomas sendiri berkata beliau adalah lantikan politik.
Bagaimanapun, Kumaraendran berkata mahkamah bukanlah forum yang betul untuk membangkitkan isu memo yang didakwa bocor itu.
Pada masa ini, Muhammad Saifuddin turut berkata bahawa beliau tidak mempunyai komen mengenai memo yang bocor itu.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Muhammad Shafee berkata beliau akan menulis surat kepada Jabatan Peguam Negara untuk mengingatkan mereka mengenai representasi yang difailkan Najib.
"Perbicaraan telah ditetapkan pada Jun dan Julai... Representasi yang dihantar oleh kedua-dua pihak masih belum mendapat jawapan setakat ini," katanya.
Muhammad Shafee seterusnya menyatakan mereka akan memanggil Thomas untuk memberi keterangan dalam kes itu untuk menyokong pembelaannya.
-- BERNAMA
#Najib Razak #perbicaraan #kes pecah amanah #Mohd Irwan Serigar Abdullah
;