Bicara kes operator kilang sokong kumpulan Daish bermula 12 Feb 2025

Bernama
Oktober 23, 2024 16:54 MYT
Mahkamah Tinggi menetapkan 10 hari bermula 12 Februari 2025 untuk perbicaraan kes seorang operator kilang yang didakwa atas tiga pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Daish, termasuk membuat bahan letupan. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 10 hari bermula 12 Feb tahun depan sebagai tarikh perbicaraan kes seorang operator kilang yang didakwa atas tiga pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Daish termasuk membuat bahan letupan.

Ringkasan AI
  • Mahkamah Tinggi menetapkan 10 hari bermula 12 Februari 2025 untuk perbicaraan kes seorang operator kilang yang didakwa atas tiga pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan Daish, termasuk membuat bahan letupan.
  • Muhammad Aabid didakwa menyimpan bahan letupan, memiliki sembilan video dan lima artikel berkaitan pengganas Daish, serta membuat bahan letupan sebagai persediaan untuk melakukan perbuatan pengganas. Kesalahan ini dilakukan di Taman Serai Jaya, Bagan Serai, Perak antara 28 Januari dan 15 Mei 2024.
  • Jika sabit kesalahan, Muhammad Aabid boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 40 tahun atau denda untuk pertuduhan pertama, dan penjara maksimum tujuh tahun atau denda untuk pertuduhan kedua dan ketiga.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh tersebut selepas dipersetujui oleh Timbalan Pendakwa Raya Rullizah Abdul Majid dan peguam Mohamad Hafiz Jalaludin yang mewakili Muhammad Aabid Zarkasi, 28.
"Mahkamah menetapkan perbicaraan kes ini pada 12 hingga 14 Feb 2025 serta 3 hingga 6 Mac dan 19 hingga 21 Mac 2025. Sebutan kes seterusnya pada 28 Nov ini," kata hakim berkenaan.
Terdahulu, Rullizah berkata pihaknya telah menyerahkan dokumen berkaitan kes kepada pihak pembelaan dan sebanyak 15 saksi pendakwaan akan memberi keterangan pada perbicaraan kes berkenaan.
Mohamad Hafiz mengesahkan telah menerima dokumen itu dan memohon tarikh sebutan sebelum perbicaraan bermula kerana pihaknya perlu membaca dokumen terlebih dahulu serta meneliti sama ada terdapat keperluan untuk mengemukakan representasi.
Muhammad Aabid didakwa atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Daish dengan cara menyimpan bahan letupan untuk menjalankan aktiviti kumpulan pengganas itu, mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 40 tahun atau dengan denda manakala harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu dilucuthakkan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki sembilan video dan lima artikel bentuk PDF dalam sebuah telefon bimbit iaitu merupakan item yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas dan kumpulan pengganas Daish.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan hendaklah dilucuthakkan mana-mana bahan tersebut, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga pula, Muhammad Aabid didakwa telah membuat bahan letupan sebagai persediaan untuk melakukan suatu perbuatan pengganas, mengikut Seksyen 130JD (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Serai Jaya, Bagan Serai, Perak antara 28 Jan dan 15 Mei 2024.
-- BERNAMA
#daish #operator kilang #Muhammad Aabid Zarkasi #bahan letupan
;