Bicara kes lelaki Israel miliki ratusan peluru, enam pistol September ini
Sinar Harian
Mei 21, 2024 12:40 MYT
Mei 21, 2024 12:40 MYT
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan perbicaraan kes seorang lelaki warga Israel atas dua pertuduhan memiliki ratusan peluru dan memperdagangkan enam pistol, bermula 30 September depan.
Hakim, Norina Zainol Abidin menetapkan prosiding terhadap tertuduh, Avitan Shalom, 38, berjalan selama sembilan hari iaitu 30 September, 1 hingga 3, dan 7 hingga 11 Oktober.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam berkata, pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk meminda dua pertuduhan terhadap lelaki yang beralamat di Bnei Brak, Israel berkenaan.
Susulan itu, Shalom mengulangi pendirian tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan berkenaan dibaca dalam bahasa Inggeris.
Pertuduhan pindaan itu membabitkan tambahan kepada jumlah peluru iaitu daripada 158 kepada 200 peluru sementara pertuduhan kedua, perubahan membabitkan nombor siri beberapa jenis senjata.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, tertuduh yang dikawal ketat anggota polis, didakwa memperdagangkan enam pistol jenis Glock 19 USA 9 x 19, Sig Sauer P320SP, Cougar 8000 FT, Glock 17 Gen4 Austria, M&P 9C Smith & Wesson Spring Field MA USA dan Stoeger Cougar 8000F.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, antara jam 6.46 petang, 26 Mac hingga 6 petang, 28 Mac lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun dan tidak kurang daripada enam kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Mengikut pertuduhan pindaan kedua, dia didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm (8 peluru), dan tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) dan 42 peluru dalam tiga senjata berasingan.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam prosiding sama, Mohamad Mustaffa memohon dua pertuduhan berkenaan dibicara bersama kerana ia melibatkan tertuduh yang memiliki dua pasport Israel dan Perancis itu, dalam insiden yang serupa.
Peguam, Navinjit Singh yang mewakili Shalom tidak membantah permohonan tersebut.
Hakim Norina kemudiannya membenarkan permohonan berkenaan selepas pendakwaan memberitahu pihaknya akan memanggil seramai 20 orang saksi termasuk pernyataan saksi akan disediakan.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 28 Jun depan untuk pengurusan kes selanjutnya.
Selain Mohamad Mustaffa, pendakwaan turut dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim dan Fazeedah Faik manakala pembelaan turut dihadiri peguam, Jeffrey Ooi. - Sinar Harian