Bicara ADUN Lenggeng yang sering mencuit hati akan dirindui

Bernama
Julai 19, 2017 09:28 MYT
Allahyarham Ishak meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Tengku Ampuan Najihah di Kuala Pilah, pada 11.25 Selasa malam.
Jika dilihat pada perwatakannya yang serius, tiada siapa yang sangka Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng Datuk Ishak Ismail juga, mampu berjenaka sehingga membuatkan mereka yang mendengarnya tidak kering gusi.
Malah kelibatnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) juga sering dinanti-nantikan khususnya dalam kalangan petugas media yang mahu mendengar intipati ucapan perbahasannya yang kadangkala disulami dengan cerita jenaka.
BACA: Adun Lenggeng meninggal dunia
Jika diingat kembali, ucapan Ishak, 66, pernah mencuri tumpuan umum pada Perhimpunan Agung UMNO 2009 dengan menyajikan kisah lucu dan cerita jenaka, malah video cakera padat (VCD) ucapannya yang mewakili Negeri Sembilan begitu laris dijual pada hari terakhir perhimpunan itu, dengan hampir 1,000 keping terjual.
Dilahirkan pada 17 Julai 1951 di Kampong Pantai, Seremban, beliau merupakan ADUN Lenggeng selama empat penggal sejak pilihan raya umum 1995.
Hasil perkahwinannya dengan Datin Norimah Ujang, mereka dikurniakan empat anak.
Ishak mula mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Pantai, Seremban dan kemudian bersekolah menengah di Sekolah Tuanku Abdul Rahman, Ipoh, Perak sebelum menyambung pengajian dalam bidang Ukur Bangunan di Liverpool Polytechnic, England.
Beliau memulakan kariernya dengan menjawat jawatan Jurukur Bangunan bertauliah dan kemudiannya menjadi Pengurus Cawangan/Pengurus Teknikal, Malaysia Building Society Berhad (MBSB) pada 1984-1989 sebelum dilantik sebagai Ketua Jabatan Perkhidmatan Pengurusan Hartanah MBSB pada 1989-1990.
Antara jawatan dalam politik yang pernah disandang Ishak ialah Ketua Pemuda UMNO Bahagian Mantin (1983-1984), Bendahari Pemuda UMNO Negeri Sembilan (1984-1987), Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan(1988-1990), Ketua UMNO Bahagian Seremban (1988).
Beliau meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Tengku Ampuan Najihah di Kuala Pilah, pada 11.25 Selasa malam.
Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Kariah Paroi Jaya untuk dimandi, dikafan dan disolat sebelum dibawa ke Masjid Kariah Kampong Pantai, untuk disolatkan sekali lagi serta akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Pantai, Seremban.
-- BERNAMA
#ADUN #Ishak Ismail #Lenggeng #meninggal dunia
;