Bicara 1MDB: "Saya bukan 'bapa' TIA, itu cetusan idea Sultan Mizan" - Najib
Khalis Khadir
Januari 8, 2025 18:45 MYT
Januari 8, 2025 18:45 MYT
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menafikan dakwaan bekas pegawai khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin kononnya penubuhan syarikat Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) adalah idea dan ‘baby’ beliau.
Bekas Perdana Menteri itu berkata, dakwaan Amhari ketika menjadi saksi pendakwaan kes 1Malaysia Development (1MDB) adalah mengarut dan tidak benar sama sekali.
Menjawab soalan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding bela diri pada Rabu, Najib berkata, seperti yang didokumenkan, TIA adalah ilham Yang di-Pertuan Agong ke-13, Sultan Mizan Zainal Abidin yang juga Sultan Terengganu.
Malah kata Najib, ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low sebenarnya telah dilantik sebagai penasihat kepada Sultan Mizan bagi menentukan hala tuju TIA dalam pembangunan di Terengganu.
TIA telah ditukar nama kepada 1MDB pada September 2009 ketika Najib menjadi Perdana Menteri.
Dalam masa sama, bekas Ahli Parlimen Pekan itu turut menafikan di hadapan Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah dakwaan kononnya 1MDB menjadi alat mengumpul dana buat dirinya serta UMNO.
Sebaliknya, kata beliau, syarikat itu sebenarnya berperanan memacu ekonomi negara terutamanya pelaburan penting dari Asia Barat.
Najib sedang membela diri terhadap empat pertuduhan menggunakan kedudukannya sebelum ini bagi memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 tuduhan pengubahan wang haram.