Bibi MacPherson, ibu Nancy Shukri meninggal dunia

Rudi Affendi Khalik
Jun 16, 2021 05:13 MYT
Sepanjang hayatnya, Allahyarham Bibi telah bergiat aktif dan menyumbang bakti kepada wanita di kawasan luar bandar serta aktif dalam politik. - Astro AWANI
KUCHING: Ibu kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Datuk Seri Nancy Shukri meninggal dunia pada jam 11.54 malam tadi.
Bibi MacPherson @ McPherson, 90 tahun, menghembuskan nafas terakhir di kediaman Nancy kerana sakit tua.
Bibi merupakan anak pertama daripada dua beradik kepada pasangan John Andrew McPherson, Residen Bahagian Ketiga yang berketurunan British Scottish semasa pemerintahan Rajah Sir Vyner Brooke dan Chua Eng Dok, seorang Cina Iban dari Kapit.
Allahyarham yang lahir pada 1930 bagaimanapun tinggal bersama pengasuh bernama Rokiah tidak lama selepas itu kerana ibu bapanya bercerai.
Rokiah yang kemudiannya berkahwin dengan Andrew bertindak menyelamatkan Bibi ketika bapanya diburu dan dibunuh tentera Jepun di Ulu Mujang, Batang Ai, ketika dalam perjalanan melarikan diri ke tanah jajahan Belanda.
Ketika kejadian itu, Bibi berusia 11 tahun.
Allahyarham kemudian dibesarkan di Kampung Panglima Seman Lama, Kuching.
Ketika usianya 15 tahun, abang bapanya tiba dari London untuk mendapatkan hak penjagaan terhadapnya, namun Rokiah memenangi kes tersebut.
Bibi kemudian bertemu jodoh dengan seorang guru berbangsa Melayu Melanau dari Kampung Santubong, Shukri Mahidi, pada 1948.
Pasangan itu kemudian hidup bahagia dan dikurniakan 11 anak, dengan Nancy merupakan anak ke-10.
Sepanjang hayatnya, Allahyarham bergiat aktif dan menyumbang bakti kepada wanita di kawasan luar bandar melalui Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS), serta aktif dalam politik.
#Nancy Shukri #ibu #meninggal dunia #sakit tua #Kuching #London #wanita #politik #Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak #Sarawak
;