Biasiswa YDPA: "Masih bawa nama negara, tapi cara berbeza" - Bryan Lim
Harits Asyraf Hasnan
Julai 21, 2020 16:29 MYT
Julai 21, 2020 16:29 MYT
Membawa nama Malaysia sebagai penerima Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong (BYDPA) lebih besar peranannya berbanding ketika menjadi atlet kebangsaan yang mewakili negara dalam kejohanan antarabangsa.
Itu pengakuan bekas atlet tenis kebangsaan, Bryan Lim Wei Tern, yang bakal melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Kepintaran Buatan (AI) dan Robotik di Imperial College, London.
"Perasaan kali ini cukup berbeza. Sebelum ini, saya hanya (bertanding) di peringkat junior dalam acaran sukan tenis.
"Sekarang ini, tanggungjawab beza sedikit kerana kali ini saya perlu melakukan kajian untuk mendapatkan penemuan terbaharu dalam AI.
"Memang berbeza tetapi tanggungjawab sama iaitu untuk bawa nama negara di peringkat antarabangsa," katanya ketika ditemui media di Istana Negara hari ini.
Dia yang akan menjalankan kajian berkaitan 'Autonomous Legged Locomotion in Unstructured Environments' berharap kajiannya itu mampu diaplikasi di negara ini sekaligus memberi impak yang besar terhadap perubahan teknologi.
Bryan Lim menjadi antara 11 penerima BYDPA yang disampaikan sendiri oleh Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa.
Selain Bryan, lima lagi penerima biasiswa bagi pengajian PhD ialah Noor Amiera Alias, pelajar rehabilitasi kanak-kanak di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Amalina Hanani (Kejuruteraan Sivil dan Alam Sekitar, Imperial College of London); Mohammad Hafizul Hazmi Wahab (Sains Komputer, UPM); Ong Yi Ni (Kimia, University of Oxford) dan K. Sivasanghari (Kejuruteraan Aeroangkasa, UPM).
Sementara itu, pelajar yang menerima biasiswa bagi pengajian Sarjana ialah Mohamad Khairul Hafizi Rahimi (Kejuruteraan Elektrik, UKM); Nur Khairina Khairu Najihan (Mekatronik, Universiti of Tokyo); Farah Syazana Aspar (Etika dan Perundangan Perubatan, University of Melbourne); Rohaisha Jamil (Undang-undang, King’s College, London) dan Low Suey Yee (Parasitologi, UPM).
Sementara itu, bagi Mohamad Khairul Hafizi, dia akui BYDPA diterimanya menjadi perangsang untuk terus komited dalam kajiannya.
Dia yang ketika ini bekerja sebagai tutor sambilan amat berharap kajiannya itu dapat memberi manfaat kepada pelbagai latar masyarakat di negara ini.
"Saya ingin anak-anak muda sekarang supaya perkembangkan lagi teknologi yang ada di Malaysia bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi dapat digunakan oleh semua orang tidak kira yang kaya mahupun miskin," katanya.
#Al-Sultan Abdullah
#atlet tenis kebangsaan
#biasiswa pengajian tinggi
#Biasiswa Yang Di-Pertuan Agong
#Bryan Lim
#Kanak-kanak
#pendidikan
#pengajian tinggi
#perubatan
#undang-undang
#Yang di-Pertuan Agong