Biasiswa PETRONAS realisasi potensi akademik 316 pelajar

Bernama
Jun 9, 2014 09:17 MYT
Biasiswa PETRONAS realisasi potensi akademik 316 pelajar
PETRONAS hari ini menganugerahkan biasiswa kepada 316 pelajar lepasan SPM bagi melanjutkan pendidikan tinggi mereka di universiti terkemuka di dalam dan luar negara menerusi Program Penajaan
Pendidikan PETRONAS (PESP) dengan nilai keseluruhan sekitar RM100 juta.
Naib Presiden Kanan Bahagian Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS, Raiha Azni Abd Rahman berkata,”Sejak ditubuhkan pada 1974, PETRONAS melihat pendidikan dan pembangunan modal insan sebagai salah satu elemen penting yang dapat menyokong pertumbuhan PETRONAS.
Oleh itu, PETRONAS melaksanakan PESP dengan tujuan membantu pelajar-pelajar yang berbakat dengan cara memberikan peluang untuk merealisasikan potensi akademik mereka. Usaha ini telah memberi manfaat kepada PETRONAS dan juga negara kerana ianya turut meningkatkan bilangan bakat-bakat mahir dalam pelbagai bidang dan disiplin ilmu di negara ini.
Raiha menambah PETRONAS berharap para penerima biasiswa dapat menggunakan peluang yang telah diberi dengan sebaik mungkin dan seterusnya berkongsi pengetahuan yang telah diperolehi demi kebaikan syarikat dan negara.
Biasiswa tersebut disampaikan olah Menteri Pendidikan II Malaysia, Dato’ Seri Idris Jusoh pada satu majlis di Dewan Canselor Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) di Tronoh, Perak.
Antara 316 penerima adalah 15 pelajar Program PERMATApintar Negara, iaitu sebuah inisiatif kerajaan Malaysia bagi membangunkan potensi kanak-kanak berkebolehan istimewa dan berbakat luar biasa yang berumur lapan hingga 15 tahun.
Daripada jumlah keseluruhan, 148 penerima akan melanjutkan pendidikan mereka di universiti-universiti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia dan Kanada manakala penerima lainnya akan melanjutkan pendidikan di UTP. Di bawah PESP, PETRONAS akan memberikan tajaan daripada program persediaan hingga peringkat ijazah pertama.
Sejak dilancarkan pada tahun 1975, PESP telah memberi manfaat kepada hampir seramai 21,000 pelajar di seluruh negara dengan nilai pelaburan keseluruhan setakat ini berkisar RM2.8 billion.
Dalam proses pemilihan penerima, PETRONAS telah menentukan piawaian ketat berdasarkan merit yang merangkumi kecemerlangan akademik, prestasi dalam bidang kokurikulum dan daya kepimpinan serta latar belakang sosioekonomi.
Selain daripada PESP, PETRONAS turut menjalankan program bakti masyarakat yang menitikberatkan usaha meningkatkan pencapaian akademik pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah yang kurang cemerlang dan berasal daripada keluarga kurang mampu menerusi Program Sentuhan Ilmu PETRONAS (PISP).
#biasiswa #Petronas
;