Biasiswa NASA: Azhar Ali akhirnya beri penjelasan, mohon orang berhenti kata bukan-bukan
Firdaus Azil
Mei 3, 2020 13:02 MYT
Mei 3, 2020 13:02 MYT
Kisah luar biasa ini mendapat perhatian beberapa hari lalu.
Ia mengenai kebijaksanaan seorang anak muda berusia 20 tahun dari Malaysia yang mendapat perhatian daripada Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Negara (NASA).
Kisahnya, dia 'berjaya' terpilih menerima biasiswa daripada NASA.
Lebih teruja, Muhammad Azhar Ali mendakwa dia dimaklumkan oleh pegawai NASA telah berjaya melayakkan diri dalam kalangan 1 peratus skor terbaik dalam cabaran mereka cipta sut angkasa lepas untuk ke Marikh.
Ini merupakan kisah kegembiraan dan penuh rahmat bagi seluruh rakyat Malaysia yang sudah dua bulan berduka dengan serangan pandemik COVID-19.
Kata Muhammad Azhar, berita gembira itu disampaikan Rene A Holland, pegawai kanan sumber manusia dari NASA melalui e-mel menggunakan domain rasmi nasa.gov.
Perkongsian kali pertama ciapan itu meraih rasa kagum dan bangga ramai rakyat Malaysia, termasuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, tingginya cita-cita Muhammad Azhar untuk meneroka angkasa yang penuh misteri ternyata masih belum dapat direalisasikan dalam realiti masa kini.
Dalam ciapan terbaharunya di twitter hari ini, Muhammad Azhar akhirnya membuka mulut membuat pengakuan bahawa dia adalah mangsa penipuan oleh ‘scammer’.
Dalam siri ciapan itu, Muhammad Azhar berkata, dia memang menyertai sebuah pertandingan mereka pakaian angkasawan, anjuran NASA di bawah program Artemis, pada 20 Mac lepas dan menerima satu e-mel mengatakan markah beliau antara 1 peratus teratas dari keseluruhan tiga juta penyertaan.
“Dua perkara berlaku - orang mula menyampaikan ucapan tahniah kepada saya, dan ada di antara mereka yang mula memeriksa keabsahan capaian yang disertakan dalam email itu. Terima kasih, anda semua hero saya.
“Dalam e-mel itu ada disertakan capaian kepada satu portal, di mana saya boleh memuat naik foto peribadi, dan ini merupakan indikasi pertama saya mempunyai kebarangkalian untuk menjadi mangsa ‘scam’. Jadi saya melakukan tangkapan skrin untuk anda lihat sendiri,” katanya lagi.
Menurut Muhammad Azhar lagi, dalam masa sama, dia juga telah menerima satu lagi e-mel, yang mendakwa mereka dari National University of Singapore (NUS), tetapi kiriman itu tidak menggunakan domain NUS.
Cara kiriman tersebut membuatkan dia mula merasakan itu satu lagi indikasi ‘scam’.
“Di atas peluang ini, saya memohon agar semua orang berhenti membuat kenyataan yang tidak tepat mengenai diri saya.
“Saya merupakan seorang pelajar, dan saya sedang menuju ke puncak karier saya. Saya telah menerima banyak tawaran dari institusi bereputasi tinggi dari luar negara, dan saya memohon kepada rakyat Malaysia untuk tidak membawa risiko kepada karier saya di masa akan datang, ekoran isu ini,” kata anak muda itu sambil bertegas dia sama sekali tidak akan memohon maaf kerana menjadi mangsa ‘scam’.
Ciapan Azhar itu mendapat perhatian Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi, Khairy Jamaluddin, yang merasakan, apa yang terjadi pada Muhammad Azhar perlu menjadi pengajaran untuk seluruh rakyat mengenai kepentingan membuat semakan fakta sebelum berkongsi sesuatu perkara di laman media sosial.
“Pujian yang anda terima membawa maksud ramai sebenarnya ingin melihat anak muda Malaysia berjaya. Jangan berputus asa. Apa jua orang cakap, terus berusaha mencapai impian,” kata Ahli Parlimen Rembau itu lagi.
#Artemis NASA
#Azhar Ali
#biasiswa NASA
#Khairy Jamaluddin
#media sosial
#Muhammad Azhar Ali
#Muhyiddin Yassin
#NASA
#penipuan media sosial
#Perdana Menteri
#rakyat Malaysia
#scammer