Biasiswa MARA guna pendekatan berbeza - KKLW

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 26, 2016 14:20 MYT
KKLW akan tetap meneruskan pembiayaan pengajian buat pelajar yang ingin melanjutkan pengajian. - Gambar hiasan
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) akan tetap meneruskan pembiayaan pengajian buat pelajar yang ingin melanjutkan pengajian.
Bagaimanapun Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri menegaskan, pemberian kali ini menggunakan pendekatan yang berbeza.
Beliau memaklumkan, berbanding sebelum ini, Majlis Amanah Rakyat (MARA) meletakkan syarat tertentu untuk permohonan penajaan baru.
“MARA meneruskan tajaan dengan syarat-syarat tertentu. Misalnya (pendapatan) kurang RM8,000… tajaan penuh, yuran dan kos sara hidup. Bagi pendapatan RM8,000 hingga RM15,000 kita taja separuh dan yuran sahaja. Kalau melebihi RM15,000, MARA bantu dapatkan pinjaman bank panel MARA.
"MARA akan tanggung dari segi interest (faedah). Kita subsidikan faedah tersebut masa dia belajar,” katanya.
Ismail berkata, MARA masih menanggung pelajar sedia ada, namun ia hanya meliputi RM2 bilion yang diperuntukkan.
Beliau pada masa sama menasihatkan para pelajar untuk memohon biasiswa terlebih dahulu sebelum meneruskan pengajian di universiti.
Ini katanya bagi mengelakkan kesulitan kepada semua pihak.
“Bajet kita bedasarkan RM2 bilion ini. Yang sudah pegi dulu, baru nak mohon, bajet kita sudah tidak cukup. Keutamaan akan diberi kepada institut dibawah MARA sahaja,” katanya.
Dalam Bajet 2017 untuk pendidikan, KKLW memperuntukkan biasiswa MARA RM2 bilion dan penyelenggaran Maktab Rendah Sains MARA, RM50 juta.
Beliau berkata demikian dalam sidang media khas KKLW mengenai Bajet 2017 di ibu negara.
#Ismail Sabri #Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah #MARA