Biasiswa Kursi Tok Nan RM2.4 juta untuk kajian etnik minoriti Sarawak

Bernama
Oktober 25, 2021 14:25 MYT
Abdul Karim berkata satu galeri khas juga akan dibuka di UPM bagi mempamerkan hasil kajian berkenaan, selain untuk dijadikan sebagai rujukan pada masa hadapan. - Foto Bernama
KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak memperuntukkan biasiswa Kursi Tok Nan berjumlah RM2.4 juta untuk menjalankan kajian mengenai etnik-etnik minoriti di negeri itu.
Menterinya, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata kajian yang mengambil masa selama tiga tahun itu juga akan mengetengahkan idea serta aspirasi bekas Ketua Menteri, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem atau Tok Nan mengenai kebudayaan, kesenian dan warisan di Sarawak.
"Pada 27 Okt ini sempena Persidangan Antarabangsa Sains Sosial dan Kemanusiaan 2021, kerajaan negeri akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi memulakan kajian itu.
"Kursi ini adalah yang pertamanya dibuat berkenaan dengan Tok Nan dan UPM telah mengusulkan bahawa mereka bersetuju untuk menubuhkan Kursi tersebut dengan tujuan mendalami minat Tok Nan dalam kesenian, kebudayaan dan warisan negeri Sarawak," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Hadir sama, Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains UPM Kampus Bintulu Prof Madya Dr Mohamad Maulana Magiman dan Pengarah UPM Kampus Bintulu Prof Madya Dr Shahrul Razid Sarbini.
Abdul Karim berkata satu galeri khas juga akan dibuka di UPM bagi mempamerkan hasil kajian berkenaan, selain untuk dijadikan sebagai rujukan pada masa hadapan.
"Jika kajian ini berjaya dan prestasinya sangat memuaskan kita akan mempertimbangkan untuk meneruskan lagi kajian seperti ini secara menyeluruh," tambahnya.
-- BERNAMA
#Biasiswa Kursi Tok Nan #Abdul Karim Rahman Hamzah #etnik minoriti Sarawak #etnik minoriti #Warisan #pelancongan #Adenan Satem
;