Biarpun pahit, Saifuddin beri jaminan kerajaan komited pertahankan kebebasan media

Firdaus Azil
Mei 3, 2020 06:30 MYT
Kritikan media harus ditangani kerajaan dengan sebaiknya, mahupun agensi berkaitan dan ia harus dilakukan dengan cara penjelasan berfakta. - Gambar fail
Biarpun kritikan media kepada kerajaan itu pahit untuk ditelan, namun Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah memberi jaminan beliau sendiri akan terus mempertahankan hak wartawan dan kebebasan media dalam sesuatu proses pemberitaan.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, sebarang kritikan media harus ditangani sebaiknya oleh kerajaan, mahupun agensi yang berkaitan dan ia harus dilakukan dengan cara memberi penjelasan yang tepat, dan berlandaskan fakta.
“Saya telah menyatakan kepada TV3 pagi ini, saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimeda (SKMM) untuk tidak mengambil tindakan ke atas anda. Saya mungkin tidak menyukai artikel itu, tetapi saya akan pertahankan hak anda untuk menulisnya.
“Semalam @DGHisham (Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) telah memberikan penjelasan mengenai isu yang anda bangkitkan - inilah cara yang sebenar, iaitu berikan penjelasan,” katanya dalam ciapan terbaharu beliau hari ini.
Saifuddin berkata sedemikian sebagai respons kepada dakwaan wartawan portal antarabangsa, Tashny Sukumaran, mengenai tindakan polis memanggil beliau berhubung satu artikel berkenaan serbuan ke atas pendatang asing di kawasan yang diwartakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kuala Lumpur.

I hv stated to TV3 this morning that I hv directed MCMC to not act against u. I may not like ur piece but I will defend ur right to write it. Yesterday @DGHisham has clarified d issues u raised - this is d way to do it, ie clarify & explain. https://t.co/rvJtTyVpXU

— Saifuddin Abdullah (@saifuddinabd) May 3, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tashny, dalam ciapannya memberitahu, beliau kini sedang disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Happy World Press Freedom Day! I have been summoned to Bukit Aman this Wednesday for questioning over my reporting of the immigration raid on the downtown KL red zone on #MayDay.

— Tashny Sukumaran (@tashny) May 3, 2020
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terdahulu, dalam kenyataan media sempena sambutan Hari Kebebasan Media Sedunia, Saifuddin berkata, kerajaan komited dalam menegakkan kebebasan akhbar.
“Pada masa yang sama, kebebasan akhbar haruslah selari dengan prinsip-prinsip kebenaran dan keadilan.
“Dalam era teknologi maklumat abad ke-21, akhbar bukan sahaja berperanan menyebarkan maklumat yang telus, tetapi juga melindungi masyarakat daripada penularan maklumat palsu yang boleh menggugat kestabilan dan keharmonian negara,” katanya.
Saifuddin berkata, beliau amat berbangga dengan pencapaian Malaysia dalam indeks kebebasan media Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Sans Frontières, RSF), di mana Malaysia mencatat peningkatan setinggi 22 anak tangga ke tangga 101 dalam kalangan 180 negara tersenarai dalam indeks terkini.
Namun, jelasnya lagi, semua pihak perlu berusaha untuk bukan saja meningkatkan kedudukan negara dalam indeks antarabangsa, tetapi lebih penting lagi ialah meletakkan peranan akhbar dalam pendekatan partisipatori bersama pemegang-pemegang taruh lain iaitu kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil sebagai rakan-kongsi pembangunan.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan penghargaan kepada para wartawan yang merupakan tonggak utama membawa infomasi yang terkini dan sahih kepada masyarakat.
“Juga menjadi tanggungjawab untuk kita semua menegakkan kebebasan wartawan untuk menjalankan tugas mereka dengan baik dengan menjunjung prinsip-prinsip dan amalan etika kewartawanan,” katanya lagi.
#Bukit Aman #Dr Noor Hisham Abdullah #MCMC #Menteri Komunikasi dan Multimedia #Saifuddin Abdullah #SKMM #Tashny Sukumaran