Biarlah dia menyumbang, tiada isu pun bukan Muslim bayar zakat - Dr Maza

Raja Hisyam Raja Zaid
April 15, 2021 09:07 MYT
Dr Mohd Asri menganggap tiada sebarang masalah yang wajar ditimbulkan berkenaan isu penganut agama lain yang ingin membayar zakat fitrah. -Gambar fail
Mufti Negeri Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menganggap tiada sebarang masalah yang wajar ditimbulkan berkenaan isu penganut agama lain yang ingin membayar zakat fitrah.
Ia susulan laporan mengenai seorang lelaki bukan beragama Islam bernama Chandramogan Jasingo, atau lebih dikenali sebagai Chandra, yang sentiasa menunaikan zakat fitrah dan juga zakat harta.
BACA: "Aku bukan Muslim, tapi aku tak pernah lupa bayar zakat harta, fitrah" - Chandra
Ia sekali gus menimbulkan perdebatan mengenai kewajaran individu itu melaksanakannya dan juga Jabatan Agama menerima zakat beliau.
Malah ada komen netizen yang menganggap perbuatan itu sia-sia memandangkan zakat khusus untuk umat Islam dan orang bukan Islam tidak seharusnya turut terlibat.
Mohd Asri yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Muzakarah Kebangsaan berpandangan sikap Chandra itu wajar dipuji dan tidak perlu ada mana-mana pihak mencemuhnya mahupun pertikai Jabatan Agama yang menerima pembayaran tersebut.
“Jika dia melakukannya tanpa paksaan dan dia faham apa yang dia lakukan atau sedar pembayaran itu, maka tidak ada isu yang perlu diperdebatkan.
"Jika ia dilakukan olehnya itu secara rela hati, maka tiada siapa yang perlu halang dan marah,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Khamis.
Malah, beliau turut berpandangan bahawa sumbangan kewangan oleh individu bukan muslim adalah perkara biasa dan menganggapnya sebagai sumbangan ikhlas yang tidak perlu dipertikaikan.
“Jika tiada isu maka tiada apa yang perlu kita menganggapnya sebagai isu dan pemberian atau pembayaran zakat itu kita anggap sebagai sumbangan biasa sahaja.
"Malah kisah itu adalah kisah yang menarik dan wajar untuk diketengahkan,” jelasnya.
Pada Rabu, Astro AWANI memaparkan bagaimana Chandra 40 tahun menginspirasikan kisah hidupnya yang dahulunya susah.
Beliau kini mengambil pelbagai inisiatif membantu semampu mungkin golongan tidak berkemampuan tanpa mengira agama, termasuk membayar zakat fitrah dan harta bagi memastikan agihan sumbangan itu dapat disalurkan secara menyeluruh.
Ungkapan “zakat” tersebut bagaimanapun tidak disenangi beberapa pihak yang menganggap ia tidak wajar digunakan penganut agama lain sebagai platform pemberian sumbangan.
#Mohd Asri Zainul Abidin #zakat #Mufti Perlis #cemuh #bukan Islam #Chandramogan Jasingo #Dr Maza #jabatan agama #hidup susah #ramadan2021
;