Biarkan Ketua Audit Negara siasat 1MDB terlebih dahulu - Najib

Astro Awani
Mei 17, 2015 19:49 MYT
Biarkan Ketua Audit Negara siasat 1MDB terlebih dahulu - Najib (Gambar: Fail)
Jika semua pihak ikhlas mencari kebenaran dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), mereka perlu mendapatkan maklumat dari sumber yang sah seperti Ketua Audit Negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib berkata maklumat tidak sepatutnya diperolehi dari portal berita, pihak ketiga atau mana-mana blog yang mempunyai agenda tersembunyi.
"Kita semua mahu jawapan terperinci tetapi ia adalah wajar untuk membiarkan juruaudit melakukan kerja mereka dan beritahu kita dengan jelas apa keadaan sebenarnya.
"Jika kita hebahkan terlebih dulu, kita akan melemahkan mereka, seperti ramai yang lain telah dilakukan. Ini bukan prosedur yang betul," tulis beliau di blognya, NajibRazak.com hari ini.
Najib menegaskan adalah tidak adil untuk ahli-ahli politik tertentu untuk melibatkan kerajaan sebelum fakta-fakta sebenar yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang sah, iaitu Ketua Audit Negara dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Katanya, sejak kebimbangan mengenai 1MDB mula dibangkitkan beliau telah mengarahkan Ketua Audit Negara dan PAC untuk menyiasat firma pelaburan tersebut.
"Sesiapa yang didapati bersalah melakukan penyelewengan atau penyalahgunaan akan dibawa ke muka pengadilan," katanya lagi.
Jelas Najib, pihaknya menjangkakan laporan awal mengenai siasatan terhadap 1MDB akan dikeluarkan oleh Ketua Audit Negara tidak lama lagi.
"Sementara itu, jangan membuat spekulasi dan membentuk kesimpulan tanpa maklumat yang akan dibentangkan oleh Ketua Audit Negara, yang akan menyediakan laporan terperinci ke dalam kewangan 1MDB," katanya.
Mutakhir ini, pentadbiran Najib dikritik hebat oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa pemimpin pembangkang kerana isu 1MDB yang didakwa menanggung beban hutang yang banyak.
#1MDB #Ketua Audit Negara #Najib Tun Razak #PAC
;