Biar Tun M tentukan nasib Marzuki - Syed Saddiq

Firdaus Azil
Februari 10, 2019 14:37 MYT
SYED SADDIQ: Pendirian saya, sekiranya sijil itu dipalsukan, saya secara prinsip tidak bersetuju dengan perbuatan itu. - Gambar fail/BERNAMA
Terpulang kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan nasib Senator Datuk Marzuki Yahya sebagai Timbalan Menteri Luar dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Menteri Belia dan Sukan itu berkata, penjelasan telah pun diberikan oleh Marzuki berhubung dakwaan mengenai kelayakan akademiknya.
Bagaimanapun, Syed Saddiq, yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, sekiranya tuduhan Marzuki memalsukan sijil akademik itu benar, maka beliau sendiri secara prinsip menentang perbuatan itu.
“Semalam Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah memberi komen, kita perlu beri ruang kepada Perdana Menteri untuk menentukannya.
“Pendirian saya, sekiranya sijil itu dipalsukan, saya secara prinsip tidak bersetuju dengan perbuatan itu,” katanya kepada pemberita sewaktu mengadakan lawatan kerja rasmi Menteri Belia dan Sukan ke daerah Hulu Langat, di sini hari ini.
BACA: Isu sijil akademik: Marzuki serahkan kepada Perdana Menteri
BACA: Isu sijil akademik Marzuki: Bersatu belum dapat gambaran jelas
BACA: Timbalan Menteri Luar nafi tipu kelulusan akademik
Media sebelum ini melaporkan, beberapa pihak telah mendesak Marzuki untuk melepaskan jawatannya susulan dakwaan beliau memalsukan kelayakan akademiknya, dan perkara itu turut mendapat perhatian media antarabangsa.
Dua hari lepas, Dr Mahathir memberitahu media, pihaknya masih belum mendapat kepastian mengenai dakwaan ke atas Pengerusi Bersatu Pulau Pinang itu.
Mengenai strategi kerjasama Pas - UMNO yang mungkin diulangi bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ini, Syed Saddiq berkata pihaknya menghormati gerak kerja pembangkang.
Tetapi beliau menegaskan, rakyat akan lebih menilai mengenai khidmat, dan Syed Saddiq percaya politik khidmat yang Pakatan Harapan jalankan, akan lebih mendapat tempat di hati pengundi DUN Semenyih.
#Bersatu #DUN Semenyih #Ketua Armada #Mahathir Mohamad #Marzuki Yahya #Pakatan Harapan #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Perdana Menteri #Setiausaha Agung #Syed Saddiq Syed Abdul Rahma #Timbalan Menteri Luar
;