Biar rakyat nilai prestasi saya - Dr Maszlee

Irwan Muhammad Zain
April 29, 2019 22:30 MYT
Maszlee bimbang lupa diri jika menilai dirinya sendiri dan menyerahkan kepada rakyat untuk membuat penilaian. - Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Dr Maszlee Malik menyerahkan kepada rakyat untuk menilai atau memberi markah kepadanya berdasarkan prestasinya sebagai Menteri Pendidikan.
Katanya, beliau mengikut nasihat yang pernah diberikan arwah bapanya yang berpesan agar tidak bersikap 'masuk bakul angkat sendiri'.
Jelasnya, penghargaan harus diberikan kepada kakitangan Kementerian Pendidikan (KPM), serta rakyat, atas pencapaian kementeriannya selama ini.
"Arwah ayah saya selalu pesan, jangan masuk bakul angkat sendiri. Jadi, saya rasa, kita beri kepada rakyat untuk menilai hasilnya.
"Arwah ayah saya sebut, kau jangan pandai-pandai, sebab, dia takut kita lupa diri. Jadi, kita serah kepada rakyat untuk menilai apa yang kita lakukan," katanya pada sidang media khas di kementeriannya di sini hari ini.
BACA: Keputusan Kabinet dalam isu matrikulasi 'sesuatu yang bersejarah' - Maszlee
Maszlee juga memperkenalkan dua slogan KPM iaitu 'Sekolah Untuk Komuniti' dan 'Universiti Untuk Masyarakat', selain tagline 'Pendidikan Tanggungjawab Semua' untuk kementerian.
Pada sidang media itu, Maszlee juga mengumumkan sembilan teras pencapaian setahun KPM antaranya, manfaat untuk warga berpendapatan rendah (B40), guru sebagai fokus utama, murid sebagai tonggak dan komitmen menangani isu sekolah daif.
Selain itu, KPM juga berjaya memberi perhatian penuh kepada orang kurang upaya, kewibawaan institusi pendidikan tinggi, peningkatan kerjasama dalam pendidikan tinggi, pendidikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan memperkasakan bahasa, budaya dan sastera dalam pendidikan.
#Dr Maszlee Malik #guru #Kementerian Pendidikan #lupa diri #menteri #pendidikan #Pendidikan Tanggungjawab Semua #penghargaan #rakyat #sekolah #Sekolah Untuk Komuniti #Universiti Untuk Masyarakat
;