Biar rakyat beri penilaian saya bersama KKR - Baru Bian

Wan Syamsul Amly
April 27, 2019 07:06 MYT
Kata Baru Bian, tugas memberi penilaian bukan terletak kepadanya namun sepenuhnya kepada rakyat untuk menentukannya. - Gambar ASTRO AWANI / SHAHIR OMAR
Baru Bian mahu rakyat memberi penilaian kepadanya sepanjang setahun menjadi menteri di Kementerian Kerja Raya.
Katanya, tugas memberi penilaian bukan terletak kepadanya namun sepenuhnya kepada rakyat untuk menentukannya.
“Bagi saya, bukan saya yang akan memberi score atau rating bagi saya.
“Itu bukan adil, bagi saya, biarkan rakyat mengadili kita dengan kejayaan KKR, saya tinggalkan kepada rakyat. Bukan saya,” katanya semasa pertemuan bersama media sempena setahun bersama KKR.
Katanya inisiatif pemansuhan kutipan tol pengguna motosikal di tiga tol di Pulau Pinang dan Johor menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memastikan agenda kesejahteraan rakyat dilaksanakan.
“Inisiatif ini membolehkan pengguna motosikal di tol berkenaan menikmati laluan tanpa tol lebih awal dari konsesi.
“Ia mengurangkan beban kos sara hidup pengguna motosikal di antara RM24 sehingga RM66 sebulan selain meningkatkn kualiti kehidupan rakyat,” jelasnya.
Kata Baru Bian lagi, pembukaan pejabat Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di Sibu, Sarawak merupakan usaha memperluas perkhidmatan selepas pembukaan cawangan di Kuching, Miri dan Bintulu.
“Jumlah cawangan kini 20 di seluruh negara. Proses pendaftaran kontraktor dan pembinaan selepas ini akan memudahkan CIDB melaksanakan tugasan mengawal selia dengan pematuhan akta dan Akta Lembaga Industri Pembinaan Malaysia.
“Ia memberi kemudahan kepada kira-kira 974 kontraktor dan 13,000 personal binaan di Kelawit dan Selangau untuk perkhidmatan CIDB.
“Pelanggan tidak perlu ke Kuching yang jauhnya 180 kilometer (km) atau ke Bintulu yang jauhnya,166 km daripada Sibu,” ujarnya.
Tambahnya, ia memudahkan pembangunan Sibu sendiri dengan infrastruktur selain membuka banyak ruang untuk modal pembangunan mesra alam sekitar hujan tropika.
Ia sekali gus kata Baru Bian, bakal menjadi pemangkin pembangunan Sibu dan Sarawak sendiri.
Selain itu jelasnya, pelancaran CIDB IMPACT iaitu satu program penilaian dan pensijilan bagi Sistem Bangunan Berindustri (IBS) pada 17 Januari lepas akan menjadikan jaminan kualiti produk itu sendiri.
“Produk ini membantu merancakkan bagi sasaran IBD. Penggiat industri produk IBS berkualiti dan terjamin melalui pensijilan yang merupakan komponen dalam program transformasi industri pembinaan dan mengambil masa lima tahun selain impak memastikan sistem itu dilaksanakan dengan konsisten.
“Ia memastikan setiap pemain industri patuh kepada penetapan dan kualiti diiktiraf ini menguntungkan produk IBS serta dapat mengelakkan mereka ditipu.
“Rakyat juga akan mendapat manfaat langsung dan penggunaan IBS diharap dapat mempercepatkan proses pembinaan rumah mampu milik kepada rakyat,” jelasnya.
#Bintulu #cidb #IBS #kerajaan #KKR #Kontraktor #Kuching #menteri #Miri #Sibu #tol #tropika
;