Biar polis siasat dahulu - Eric Paulsen
Astro Awani
Januari 11, 2015 15:43 MYT
Januari 11, 2015 15:43 MYT
Pengasas dan Pengarah Eksekutif kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen menyerahkan kepada pihak polis untuk membuat siasatan atas kenyataan kontroversinya, lapor Malaysiakini.
Paulsen juga dilaporkan belum memutuskan sama ada akan memohon maaf atas kenyataannya yang didakwa mengkritik khutbah Jumaat.
“Perkara ini sedang disiasat. Jadi saya rasa, biar saya kena siasat dahulu.
"Jadi lihatlah macam mana nanti,” Paulsen dipetik sebagai berkata oleh Malaysiakini.
Paulsen juga dipetik sebagai berkata terdapat “salah faham” tetapi belum mahu menghuraikannya, buat masa ini dia menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat terlebih dahulu sebelum membuat apa-apa kenyataan.
“Polis sudah hubungi saya dan saya sedia untuk bekerjasama. Dan perkara ini menjadi kes polis. Biar proses siasatan berjalan (dahulu),” katanya lagi.
Peguam hak asasi manusia itu juga meminta pihak polis bertindak lebih profesional dan tidak pilih kasih dalam menjalankan tugas.
Kenyataan Paulsen di laman mikro pada Jumaat yang berbunyi: “Jakim mempromosi ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mengenai ekstremisme di Malaysia”, mendapat kritikan banyak pihak.
Pemuda PAS menerusi timbalan ketuanya, Khalil Abdul Hadi menyifatkan Paulsen menghina umat Islam jika beliau merujuk kepada khutbah Jumaat.
Sementara, akhbar Utusan Malaysia menyifatkan Paulsen sebagai terlalu ekstrem dan menggesa peguam tersebut supaya meminta maaf.