Biar orang ramai nilai pendirian kritikal kami - MPN

Bernama
Oktober 20, 2019 22:01 MYT
MPN berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy yang menyelar majlis itu pada 18 Okt lepas kerana mempertahankan ahli akademik Prof Datuk Zainal Kling berhubung kenyataannya pada Kongres Maruah Melayu. - BERNAMA
Majlis Profesor Negara (MPN) berkata ia akan terus memperjuangkan dan memberi maklum balas yang relevan serta memberi penerangan kepada orang ramai tentang pentingnya isu-isu nasional dan global tanpa takut atau memihak.
MPN berkata demikian susulan kenyataan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang P. Ramasamy yang menyelar majlis itu pada 18 Okt lepas kerana mempertahankan ahli akademik Prof Datuk Zainal Kling berhubung kenyataannya pada Kongres Maruah Melayu baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, MPN berkata kenyataan Zainal mengenai konsep kontrak sosial pada kongres yang berlangsung pada 6 Okt lepas adalah "tepat dari sudut sejarah" dan menegaskan ucapannya tidak mengandungi apa-apa elemen yang boleh menggugat ketenteraman awam.
"Dia (Ramasamy) atau mana-mana pihak lain mungkin bersetuju atau tidak bersetuju dengan pendirian dan pendapat kami, tetapi ;pendirian kami tetap jelas - kami harus menghargai dan menggalakkan perbezaan sebagai sebahagian daripada demokrasi dan kebebasan bersuara dan melahirkan pendapat sebagaimana yang ditetapkan oleh undang-undang.
"Biarlah orang ramai menilai sama ada kritikan dan pandangan kritikal kami mempunyai asas atau sebaliknya," kata kenyataan itu.
MPN juga menjemput Ramasamy untuk melawat beberapa universiti kerana menarik perhatian bahawa terdapat banyak perubahan positif yang berlaku sejak dekad yang lalu di universiti melalui usaha murni anggota dan rakan-rakan.
-- BERNAMA
#Ketua Menteri #Majlis Profesor Negara MPN #P Ramasamy #Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang #undang-undang
;