Biar kerajaan bertukar ganti, institusi antirasuah harus terus kukuh - Rais Hussin

Firdaus Azil
Februari 2, 2021 17:17 MYT
RAIS: Rasuah hanya akan memberi kekayaan dan kemewahan kepada segelintir, tetapi akan memiskinkan lebih ramai orang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti-parti politik di negara ini akan bersilih ganti menerajui Kerajaan Persekutuan namun, institusi pentadbiran harus sentiasa komited untuk memerangi rasuah, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Emir Research, Datuk Dr Rais Hussin.
Beliau berkata, pembuat dasar boleh mewujudkan pelbagai jenis undang-undang rasuah yang ketat, namun ia harus selari dengan komitmen daripada segenap masyarakat.
Jelasnya lagi, budaya antirasuah hanya akan berjaya jika ia ditangani dengan baik oleh kerajaan dan diterjemah melalui pemikiran dan tindakan rakyat Malaysia.
“Ini sebenarnya dapat mengelakkan budaya atau urus tadbir ‘tick-the-box’ atau sekadar menanda kotak keperluan dalam borang-borang kerajaan. Jadi inilah yang akan mewujudkan skandal seperti kartel daging baru-baru ini, dan sebagainya.
“Satu lagi perkara penting ialah anda tidak boleh memilih pendakwaan. Jadi semua orang dapat melihat bahawa pentadbiran agensi kerajaan sangat serius dengan urus tadbir,” katanya lagi.
Dalam Kajian Suku Ke-Empat 2020 oleh Emir Research yang diterbitkan pada Selasa (1 Februari), 78 peratus responden bersetuju bahawa agensi penguat kuasa melakukan tindakan sewajarnya dalam membanteras rasuah.
Pada masa yang sama, 62 peratus responden bersetuju terdapat masalah moral dalam kalangan pemimpin politik, hingga menyebabkan gejala rasuah agak serius dalam negara ini.
Dalam pada itu, Rais juga menggesa agar pendakwaan terhadap kes rasuah harus bersikap adil, dan tidak tunduk kepada tekanan politik mana-mana pihak.
Rais berkata, beliau berulang kali menegaskan bahawa rasuah hanya akan memberi kekayaan dan kemewahan kepada segelintir, tetapi akan memiskinkan lebih ramai orang.
Tinjauan Pendapat | Masalah moral libatkan pemimpin politik
#Rais Hussin #EMIR Research #Rasuah #kerajaan #rakyat Malaysia #kartel daging #Malaysia #politik #presiden #undang-undang
;