Biar kabinet bincang isu PPSMI - Anwar

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 31, 2020 23:01 MYT
ANWAR: Biar mereka bincang di kabinet. - Gambar fail/SHAHIR OMAR
Biar isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibincangkan di peringkat kabinet.
Itu reaksi Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu melaksanakan semula dasar PPSMI dalam sistem pendidikan negara ini.
Anwar bagaimanapun enggan mengulas panjang berkenaan isu tersebut dan berkata perkara itu perlu dibincangkan diperingkat Kabinet.
"Biar mereka bincang di kabinet," katanya kepada media pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaaan anjuran Parti Keadilan Rakyat di Padang Kota, Pulau Pinang.
BACA: Dasar PPSMI akan dikembalikan dalam sistem pendidikan negara - PM
Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, PKR akan membincangkan isu berkenaan di dalam mesyuarat parti dalam tempoh terdekat.
"Isu tu Tun (Dr Mahathir) baru sebut, kita belum sempat bincang lagi. Kami akan bincang balik pengumuman yang baru dibuat, jadi (berkenaan) pendirian parti kita akan bincang dalam mesyuarat parti yg terdekat," katanya.
PKR sebelum ini pernah membantah pelaksanaan PPSMI pada 2009.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan akan melaksanakan semula
PPSMI dalam sistem pendidikan negara ini.
Pemangku Menteri Pendidikan itu berkata, Sains dan Matematik adalah berbeza dengan mata pelajaran lain seperti Sejarah dan Geografi, kerana ia bukan bidang ilmu yang diolah dari negara ini.
Dasar PPSMI telah dipersetujui Jemaah Menteri yang ketika itu dipengerusikan Dr Mahathir pada 2002, sebelum mula dilaksanakan secara penuh di seluruh negara pada 2008.
Bagaimanapun, ia telah dimansuhkan secara berperingkat pada 2012 setelah mendapat kecaman beberapa pihak termasuk parti politik, ibu bapa dan cendekiawan.
Namun, Bahasa Inggeris masih terus menjadi bahasa pengantar di peringkat universiti, matrikulasi dan tingkatan enam.
#Anwar Ibrahim #bahasa Inggeris #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #PPSMI #Presiden PKR #Saifuddin Nasution Ismail #sains dan matematik
;