BHEUU tidak terima sebarang pemakluman daripada Istana Negara
Bernama
Januari 10, 2025 18:48 MYT
Januari 10, 2025 18:48 MYT
PUTRAJAYA: Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, mengesahkan bahawa tiada sebarang dokumen tambahan berkaitan permohonan pengampunan Datuk Seri Najib Razak dalam fail atau rekod rasminya.
BHEUU dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya juga tidak menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi daripada pihak Istana Negara berhubung perkara berkenaan.
"Sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya.
"Langkah ini penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat," menurut kenyataan itu yang diedarkan di sini hari ini.
BHEUU memaklumkan mesyuarat Lembaga kali ke-61 yang telah diadakan pada 29 Januari 2024 telah dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
BHEUU berkata mesyuarat tersebut telah mempertimbangkan permohonan pengampunan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.
Sementara itu BHEUU menjelaskan sebagai urus setia kepada Lembaga Pengampunan, ia tidak berurusan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai apa-apa perkara berhubung Lembaga Pengampunan, kecuali kepada Yang di-Pertuan Agong, sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan," menurut kenyataan itu.
BHEUU berkata prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi [Akta 88] dan semua dokumen yang berkaitan hanya boleh diakses oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung oleh Lembaga tersebut.
"Tiada mana-mana pihak lain, tanpa mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut, sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti," menurutnya.
BHEUU turut memaklumkan Lembaga Pengampunan adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan bukannya sebuah agensi atau jabatan kerajaan di bawah BHEUU.
-- BERNAMA