"Betapa sedihnya keadaan sungai di negeri kita' - Tunku Idris
Astro Awani
Mac 22, 2019 12:24 MYT
Mac 22, 2019 12:24 MYT
Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim menggesa satu langkah segera diambil untuk meningkatkan kesedaran tentang bahayanya pencemaran sungai.
Baginda turut memberi peringatan sekiranya pencemaran sungai berterusan, negeri Johor berisiko berhadapan dengan kekurangan bekalan air untuk kegunaan harian rakyat serta menampung keperluan industri.
"Bersempena dengan Hari Air Sedunia (hari ini), saya ingin menarik perhatian orang ramai kepada kesan buruk akibat mencemarkan sungai kita.
"Tragedi pencemaran sisa kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang membawa pengajaran untuk kita semua," kata baginda kepada Royal Press Office.
Tunku Idris berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu telah memusnahkan sungai termasuk spesis kehidupan marin serta potensinya sebagai punca air bersih.
Penaung DiRaja Taman Negara Johor itu berkata, kesemua daripada kira-kira 16 sungai utama di negeri Johor pernah terjejas akibat pencemaran.
"Betapa sedihnya keadaan sungai di negeri kita.
"Degradasi sungai secara sistematik akibat pembuangan sampah domestik serta sisa perindustrian mesti dihentikan kerana ia adalah sumber kehidupan kita," tegas baginda lagi.
Menurut Tunku Idris, krisis pencemaran di Pasir Gudang telah mengutarakan keperluan drastik untuk inisiatif baharu bagi mendidik orang awam memainkan peranan dalam melindungi sungai dan sumber air.
Tegas baginda, telah tiba masanya untuk sektor awam dan swasta mengenal pasti kaedah baharu serta idea inovatif untuk menghidupkan semula dan menyelamatkan sungai-sungai yang kotor.
"Mereka perlu menjadi proaktif, bukannya bertindak balas sahaja setiap kali berlaku sesuatu bencana.
"Saya menggesa semua pihak mempergiatkan usaha untuk membersihkan sungai, malah sekolah-
sekolah juga perlu lebih aktif melibatkan pelajar dalam program "Cintai Sungai Kita" agar golongan muda ditanam kesedaran akan kepentingan sumber air yang bersih," katanya.
Sejak kejadian berlaku pada 7 Mac lalu, lebih 3,000 orang terpaksa mendapatkan rawatan akibat
terhidu gas toksik akibat pembuangan sisa kimia ke dalam sungai itu.
Pencemaran itu turut menyebabkan kesemua 111 buah sekolah dalam daerah Pasir Gudang
terpaksa di tutup.
#Hari Air Sedunia
#Pasir Gudang
#Royal Press Office
#sekolah
#Sultan Ibrahim
#Sungai Kim Kim
#Taman Negara Johor
#Tunku Idris Iskandar