Besi buruk lebih bernilai dari papan tanda sejarah Green Ridge
Bernama
Januari 3, 2022 17:29 MYT
Januari 3, 2022 17:29 MYT
KAMPAR: Nilai besi buruk lagi penting dari nilai informasi yang ada pada papan tanda Perang Dunia Kedua 'Battle of Kampar' di Green Ridge, sehingga ia sanggup dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab baru-baru ini.
Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG) Shaharom Ahmad berkata, pihaknya kesal dengan tindakan pihak yang mencuri papan tanda tersebut, tanpa menghayati elemen dan nilai sejarah yang ada berkaitan pertempuran tersebut.
"Esok genap dua tahun papan tanda ni dipasang. Tidak sempat dua tahun sudah lesap. Saya sedih sebab sebahagian kecil masyarakat pentingkan nilai besi buruk itu, dari nilai papan tanda ini dalam kehidupan masyarakat.
"Bukan senang untuk pacak papan tanda ini dengan kos sendiri. Mereka yang mencuri ini tidak kisah dan peduli akan kesan kecurian papan tanda ini, yang berfungsi untuk mendidik masyarakat dalam membantu menaikkan nilai sejarah tapak yang ada," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau mengulas mengenai kehilangan papan tanda informasi tersebut yang dipasang di Jalan Ipoh-Kampar di sini dan hanya disedari hilang sewaktu ahli persatuan melalui kawasan tersebut pagi tadi.
Menurutnya, kehilangan papan tanda ini amat dirasai persatuan dan kini terpaksa memikirkan cara lain untuk menggantikan papan tanda yang hilang itu dengan menggunakan bahan yang tidak digemari pencuri.
Berdekatan papan informasi tersebut, wujudnya tapak pertempuran Perang Dunia Kedua 'Battle of Kampar' di Green Ridge yang kini sedang menanti proses pengiktirafan sebagai tapak warisan dan pelancongan, seperti disyorkan kerajaan India sebelum ini.
Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B Nagabhushana Reddy pada akhir Disember lalu dilapor berkata, idea menggazetkan tapak sejarah pertempuran itu merupakan hasrat yang dinyatakan Perdana Menterinya ketika melawat Malaysia pada 2015 lalu, untuk menghormati perkhidmatan tentera British dan India semasa Perang Dunia Kedua di Kampar.
Tapak pertempuran seluas 6.47 hektar itu merupakan bukti pertempuran hebat di antara 1,500 tentera British yang turut disertai tentera India, Sikh dan Gurkham menentang 4,000 tentera Jepun selama empat hari empat malam pada 30 Dis 1941 hingga 2 Jan 1942.
Pertempuran itu mengakibatkan 150 tentera British serta 500 tentera Jepun maut dan dikebumikan di satu tempat di kawasan sama, dikenali sebagai Green Ridge.
-- BERNAMA