Beruang matahari rosakkan kebun kelapa masuk perangkap

Sinar Harian
Mac 9, 2024 16:30 MYT
Beruang matahari betina yang berjaya ditangkap anggota Perhilitan Terengganu di kebun kelapa Kampung Padang Tapong, Besut pada Jumaat.
BESUT: Seekor beruang matahari betina yang dikesan merosakkan tanaman kelapa di Kampung Padang Tapong, Besut, di sini berjaya ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu pada Jumaat.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, haiwan tersebut memasuki perangkap yang dipasang anggota Perhilitan selepas menerima aduan berhubung serangan hidupan liar itu pada 28 Februari lalu.
"Sebelum ini anggota kita telah menerima aduan mengenai kerosakan kebun akibat diserang haiwan liar dan segera memasang perangkap di kawasan kebun kelapa itu lebih seminggu lalu.
"Selepas lebih seminggu dipasang, seekor beruang seberat kira-kira 60 kilogram (kg) ditemui memasuki perangkap tersebut. Haiwan itu dalam keadaan sihat dan telah dilepaskan kembali ke habitat semula jadi yang lebih selamat," katanya.
Beliau berkata, mereka yang mengesan kehadiran haiwan liar atau berdepan ancaman hidupan itu diminta segera memaklumkan kepada pihak Perhilitan bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Selain itu, katanya, pemilik kebun dinasihatkan untuk sentiasa memastikan keadaan persekitaran kebun bersih daripada semak samun supaya tidak mengundang kehadiran haiwan liar.
"Kita juga ingin menekankan kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan video hidupan liar di media sosial kerana dikhuatiri akan menjadi tumpuan pemburu haram atau pihak tidak bertanggungjawab," katanya. - Sinar Harian
#beruang matahari #Perhilitan #terengganu #Kampung Padang Tapong
;