Beruang matahari Malaysia terancam susulan China lulus penggunaan hempedu rawat COVID-19

Syafik Shukri Jalil
April 13, 2020 14:35 MYT
Ancaman terhadap beruang matahari dipercayai meningkat berikutan organnya didakwa boleh digunakan untuk merawat COVID-19. Gambar SFC.
Ancaman pemburu haram terhadap beruang matahari termasuk di Sarawak dipercayai meningkat mendadak susulan tindakan Beijing meluluskan penggunaan hempedu haiwan itu dalam rawatan COVID-19.
Berikutan itu, Sarawak Forestry Corporation (SFC) proaktif melakukan usaha pencegahan aktiviti pemburuan haram spesies berkenaan serta hidupan liar lain di hutan di negeri ini.
SFC juga mengeluarkan larangan keras terhadap pemburu haram dan memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka jika tetap berdegil.
Dalam kenyataannya, antara lain, jurucakap SFC berkata, mereka bekerjasama rapat dengan beberapa agensi kerajaan antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
BACA: COVID-19: SFC ambil langkah proaktif lindungi Orang Utan
"Ini bagi membolehkan aktiviti haram ini digagalkan seterusnya membolehkan mereka yang ditangkap atas kesalahan memburu dan menyeludup menerima hukuman di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998" katanya dalam kenyataan itu.
Kenyataan sama menyebut, penggunaan organ hidupan liar membabitkan mana-mana spesies bagi tujuan merawat COVID-19 tidak dipraktikkan kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan malah hampir semua negara di dunia.
"Ketika ini petugas barisan hadapan sedang berjuang melakukan usaha yang terbaik bagi merawat pesakit COVID-19 dan pemburuan haram bukanlah satu penyelesaian," katanya.
Katanya, antara langkah diatur adalah melaksanakan kawalan ketat di pintu sempadan antarabangsa di negeri itu bagi memastikan pemburu dan penyeludup haram tidak meloloskan diri ke negara jiran.
Katanya, SFC juga telah menjalankan kempen kesedaran awam tentang pemuliharaan hidupan liar menerusi platform media sosial.
#Beijing #beruang madu #beruang matahari #COVID-19 #hidupan liar #Jabatan Kastam Diraja Malaysia #pemburu #pemburuan haram #Polis Diraja Malaysia #Sarawak #Sarawak Forestry Corporation #seludup #sempadan
;