Beruang matahari, harimau kumbang dilepaskan ke habitat asal

Norfarhiza Mohd Atar
Jun 15, 2022 11:11 MYT
Beruang matahari jantan seberat 90 kilogram ini berada dalam keadaan yang sihat sepanjang operasi translokasi dijalankan. - Foto Jabatan Perhilitan
LIPIS: Kebimbangan penduduk Kampung Sungai Mun, Mukim Kechau, di sini terhadap kehadiran seekor beruang matahari di sekitar kampung sejak 1 Jun lalu berakhir apabila ia berjaya ditangkap pada 8 Jun lalu.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Semenanjung Malaysia menyatakan, operasi translokasi dijalankan dalam usaha menyelamatkan haiwan terlindung berkenaan.
"Operasi ini melibatkan kakitangan daripada Jabatan Perhilitan Daerah Lipis, Jabatan Perhilitan Daerah Kuantan, Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai, Perak dan Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Jenderak Selatan, Pahang.
"Beruang matahari jantan seberat 90 kilogram ini berada dalam keadaan yang sihat sepanjang operasi dijalankan.
"Haiwan ini telah selamat dilepaskan ke habitat asal di kawasan perlindungan hidupan liar seliaan Jabatan Perhilitan pada hari yang sama operasi tangkapan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook semalam.
Dalam pada itu, Jabatan Perhilitan Daerah Lipis dengan kerjasama NWRC Sungai Perak dan PKHL Jenderak Selatan turut menjalankan satu operasi translokasi seekor harimau kumbang di Kampung Peruang, Mukim Budu, Benta, di sini pada 6 Jun lalu.
Mengikut laporan, haiwan liar terbabit didapati berkeliaran di lokasi tangkapan oleh penduduk kampung sejak 11 Mei lepas.
"Hasil pemeriksaan kesihatan ke atas harimau kumbang jantan seberat 60 kilogram ini menunjukkan ia berada dalam keadaan sihat tanpa sebarang kecederaan.
"Harimau terbabit telah selamat dipindahkan ke habitat yang sesuai pada hari yang sama operasi tangkapan dijalankan," katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan hidupan liar diseru supaya menghubungi Jabatan Perhilitan di talian Hotline 1-800-88-5151 untuk tindakan selanjutnya.
#beruang matahari #harimau kumbang #habitat asal #operasi translokasi
;