Beruang matahari akhirnya masuk perangkap

Sinar Harian
Mei 9, 2023 11:52 MYT
Beruang jantan terbabit masuk ke dalam perangkap selepas disedari penduduk pada jam 4 pagi Isnin. - Gambar/ Sinar Harian
SUNGAI BESAR: Seekor beruang matahari yang sering kelihatan berkeliaran di kawasan kebun di Kampung Parit 5 Gambut dekat sini akhirnya masuk ke perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Pengarah Perhilitan Selangor, Dennis Ten Choon Yung berkata, beruang jantan terbabit masuk ke dalam perangkap selepas disedari penduduk pada jam 4 pagi Isnin.
Menurutnya, sepasukan anggota Perhilitan Daerah Sabak Bernam yang tiba ke lokasi dua jam berikutnya mendapati beruang bersaiz dewasa itu masuk ke perangkap.
"Pemantauan dilakukan dan pita amaran telah dipasang di kawasan terbabit selain pemeriksaan selanjutnya dijalankan oleh Pasukan Menyelamat Hidupan Liar (NWRC), Sungkai dengan melakukan tembakan pelalian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Choon Yung berkata, penduduk sekitar sering mengadu beruang itu merayau di kawasan kebun selain kesan umbut kelapa musnah akibat haiwan berkenaan.
"Kita memasang perangkap sejak seminggu lalu dan dialih ke lokasi tertentu berdasarkan aduan daripada penduduk.
"Akhirnya pada semalam (Isnin), beruang ini berjaya masuk perangkap, namun tiada laporan penduduk cedera sebaliknya ia melibatkan kebimbangan mengenai keselamatan mereka ketika keluar ke kebun," jelasnya.
Sehubungan itu, berliau berkata, beruang terbabit dibawa ke pejabat Perhilitan Sungai Besar dan seterusnya dibawa ke lokasi pelepasan semula.
Sebelum ini, tular satu rakaman video di Facebook mengenai seekor beruang yang masuk ke dalam perangkap di Kampung Parit 5 Gambut. - Sinar Harian
#beruang matahari #Sungai Besar #Kampung Parit 5 Gambut #Perhilitan
;