Bertumbuk gara-gara lewat daftar masuk penerbangan
Sinar Harian
November 16, 2024 18:30 MYT
November 16, 2024 18:30 MYT
SEPANG: Kelewatan mendaftar masuk dipercayai menjadi punca pergaduhan antara individu dengan seorang pekerja syarikat penerbangan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu.
Ringkasan AI
- Kelewatan mendaftar masuk dipercayai menjadi punca pergaduhan antara seorang penumpang dan pekerja syarikat penerbangan di Terminal 1, KLIA, Ahad lalu.
- Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at, menyatakan bahawa kejadian tersebut mengakibatkan kecederaan ringan kepada pekerja syarikat penerbangan dan disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
- Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan kenyataan palsu mengenai insiden ini, kerana tindakan sedemikian boleh disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Azman Shari'at berkata, laporan berkaitan insiden berkenaan dibuat salah seorang individu terbabit.
"Siasatan mendapati kejadian berpunca akibat perselisihan faham petugas syarikat penerbangan dengan seorang penumpang.
"Kejadian mengakibatkan berlakunya pergaduhan antara kedua-dua individu itu akibat kelewatan masuk untuk mendaftar penerbangan," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, kejadian mengakibatkan petugas syarikat penerbangan itu mengalami kecederaan ringan.
"Siasatan berkaitan kejadian dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai dinasihatkan tidak menyebar atau memuat naik sebarang kenyataan yang tidak benar serta palsu," katanya.
Tegasnya, tindakan sedemikian boleh disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu tular satu video memaparkan pergaduhan di Terminal 1, KLIA melibatkan dua individu.
Kejadian itu bagaimanapun berjaya ditangani anggota keselamatan bertugas dan orang ramai. -Sinar Harian