Bertongkat akibat kanser tulang tidak luntur semangat guru tahfiz tunai haji

Bernama
Mei 9, 2024 11:58 MYT
Walaupun kudung kaki kiri dan terpaksa bertongkat akibat kanser tulang, tidak sesekali melemahkan semangat Azaha Ahmad untuk ke Tanah Suci menunaikan ibadah haji tahun ini. - Gambar Bernama
KOTA BHARU: Walaupun kudung kaki kiri dan terpaksa bertongkat akibat kanser tulang, keadaan itu tidak sesekali melemahkan semangat seorang guru tahfiz untuk ke Tanah Suci menunaikan ibadah haji tahun ini.
Azaha Ahmad, 55, berasal dari Kampung Wakaf Zain Tawang, Bachok berkata, perkara itu tidak menjadi masalah buatnya kerana akan dibantu isteri yang turut sama mengerjakan haji serta bersyukur kerana terpilih menjadi tetamu Allah buat kali pertama.
"Saya menghidap kanser tulang sejak berusia 25 tahun, kaki kiri terpaksa dipotong sehingga paras lutut bagi mengelakkan kanser merebak ke bahagian tulang lain ... syukur saya telah bebas kanser tulang kini," katanya kepada pemberita di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, di sini, malam tadi.
Azaha berkata, dia menerima panggilan haji pada 2023, namun terlepas peluang itu kerana tidak sempat mengambil dos penggalak vaksin COVID-19.
Bagaimanapun, perasaan bahagianya kini tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata apabila dia dan isteri terpilih menjadi antara 141 jemaah dari Kelantan yang akan menunaikan rukun Islam kelima itu.
Sementara itu, seorang penuntut dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Selangor Aiman Suhaimi, 25, tidak menyangka akan menjadi bakal haji pada usia muda.
"Syukur sangat terpilih ke sana (Tanah Suci) berkat ibu bapa menabung sejak saya kecil ... Alhamdulillah saya telah melengkapkan kursus berkaitan ibadah haji selain mempunyai tahap kesihatan yang baik," kata pelajar tahun dua jurusan Doktor Falsafah bidang Kimia Persekitaran yang akan menunaikan haji bersama bapa saudaranya.
Kesemua 141 jemaah haji itu merupakan kumpulan kedua yang bergerak dari kompleks berkenaan menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebelum berangkat ke Tanah Suci bersama jemaah lain bagi menunaikan ibadah haji.
Tahun ini, hari Wukuf jatuh pada 9 Zulhijjah yang dijangka pada Sabtu, 15 Jun.
Malam tadi, Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud memberikan bantuan sebanyak RM300,000 kepada pengurusan Tabung Haji negeri bagi melancarkan proses perjalanan 2,360 jemaah haji di Kelantan.
- BERNAMA
#Haji 2024 #musim haji #Tabung Haji #kanser tulang
;