"Bertatih di pagi Syawal, kami mahu Arshad sihat semula"

Wan Syamsul Amly
Ogos 3, 2014 17:37 MYT
"Bertatih di pagi Syawal, kami mahu Arshad sihat semula" - Gambar fail
Saat paling manis kepada 'daddy' dan ibu Arshad Imanshah Antashah (16 bulan) yang mengidap sakit Atresia Biliari (hati) sejak dilahirkan adalah berpegangan tangan dan bertatih bersama pada pagi Syawal.
Bagaimana tidak, pada masa Arshad 'diminta' keluar oleh 'daddynya', Antashah Mohd Nor sehari sebelum hari raya kerana mahu menyambut lebaran bersama keluarga, Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini mengakui, seandainya ditakdirkan hujung nyawa anak keduanya itu pada waktu terdekat, biarlah ia di pangkuannya dan isteri.
"Alhamdulillah, selepas seminggu Arshad di rumah, dia menunjukkan semangat yang sangat luar biasa.
"Dia sekarang suka bertatih sambil memegang tangan saya dan ibunya, kami berharap dia terus memberi perkembangan positif supaya dapat meneruskan pembedahan pemindahan hati di Singapura nanti," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini.
Arshad memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk membiayai kos rawatan pemindahan organ yang akan dilakukan di Hospital Universiti Singapura (HUS).
Walau sedar pembedahan itu memerlukan kos besar, Antashah terus berusaha untuk mencari dana dengan pelbagai cara selain menyatakan sanggup untuk memberikan sebahagian hatinya demi melihat melihat anak keduanya itu kembali sihat dan membesar seperti kanak-kanak lain.
Antashah sedar risiko pembedahan itu selain berdoa, berharap dan berusaha dana pembedahan itu mencukupi sebelum segala-galanya 'terlambat'.
Menurutnya, jumlah setengah juta ringgit itu hanya kos pembedahan sahaja tidak termasuk dengan lain-lain rawatan susulan yang perlu dilakukan sebelum dan selepas pembedahan dilaksanakan.
Antashah sebelum ini mengambil inisiatif sendiri dengan mewujudkan satu ruangan khas di Facebook (FB) yang diberi nama ‘Donate and Save Arshad Imanshah’ yang bertujuan untuk mengumpul dana bagi pembedahan pemindahan hati berkenaan.
Ia turut dikongsi orang ramai di beberapa laman sosial lain seperti di Instagram dan Twitter.
Namun kata Antashah, pembedahan untuk membuang nanah di saraf tunjang sampai ke bawah badan Arshad terpaksa ditangguh sehingga benar-benar sihat.
Sekaligus jelasnya, mengikut perkembangan semasa, pemindahan hati juga perlu ditangguhkan kerana HUS tidak mahu menerima Arshad selagi nanah dan bengkak itu masih belum sembuh.
"Kalau diteruskan memang boleh bahayakan nyawanya. Namun, sejak keluar hospital dia belum demam...cuma bibir dia kering berbanding biasa.
"Namun selera makan dia bertambah dan mahu bergurau dengan orang lain," ujarnya.
Antashah menjelaskan, sejak hari raya, kediamannya tidak putus-putus dilawati sanak saudara, sahabat dan orang ramai yang mahu melihat Arshad.
"Ramai memberi kata-kata semangat dan menyumbang kepada dana Arshad.
"Doakan...doakan...doakan Arshad kembali pulih dan dapat meneruskan pembedahan pemindahan hati," jelasnya dalam nada penuh harapan.
Ketika ditanya berapa jumlah terkini dana Arshad, Antashah memberitahu;
"Sehingga hari ini, sebanyak RM 300,000 sudah ada untuk Arshad.
"Arshad perlu sekurang-kurangnya RM 500,000 sebelum September untuk memastikan pembedahan itu dapat dijalankan mengikut jadual selain berharap pembedahan buang nanah dapat dibuat dalam masa terdekat," jelasnya.
"Semoga bengkak Arshad segera surut," kata Antashah mengakhiri perbualan.
#antashah #Arshad #hati #Pembedahan #Singapura
;