Bertahun sambut Aidilfitri tanpa kuih raya, Era bantu nasib ibu empat beranak
Syahdeen Tahir
Mac 29, 2024 19:12 MYT
Mac 29, 2024 19:12 MYT
KUALA LUMPUR: Warga kerja stesen radio Era membawakan senyuman sempena bulan mulia ini kepada sebuah keluarga apabila membantu nasib ibu empat beranak agar dapat meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah dan bermakna.
Wanita berkenaan mengakui sudah beberapa tahun menyambut kedatangan Aidilfitri tanpa dapat menyediakan kuih atau biskut raya di rumahnya.
Lisa (bukan nama sebenar) membesarkan empat orang anak di Bahau, Negeri Sembilan. Dia juga tinggal berjauhan dengan suaminya yang bekerja di Kuala Lumpur atas sebab-sebab tertentu.
“Saya tinggal lima beranak di rumah dan besarkan mereka mengikut kemampuannya yang ada. Suami bekerja di Kuala Lumpur dan saya tidak dapat tinggal bersamanya ekoran kos sara hidup sangat tinggi seperti sewa rumah, barangan keperluan harian dan perbelanjaan lain.
“Team Era bantu saya raikan Syawal dengan memberi bantuan baju raya dan kuih raya serta barangan dapur, saya amat bersyukur dan berterima kasih yang tidak terhingga,” ujarnya.
Tambah Lisa, dia juga berkongsi pengalaman memiliki wang untuk berbelanja untuk hari raya.
Namun terpaksa dibatalkan kerana wang tersebut digunakan untuk membaiki kereta yang rosak.
“Apa yang berlaku kepada saya dan keluarga ini, saya pasrah dan reda kerana itu semua ada hikmahnya. Ini kerana setiap orang mempunyai dugaan masing-masing untuk meneruskan kehidupan dan menjalaninya dengan tabah.
Terdahulu, ujian hidup dihadapi Lisa mendapat perhatian ramai selepas menjadi pemanggil di 3 Pagi Era berkongsi masalah dan kesusahan dialaminya.
Hal itu menjadi tular di platform media sosial rasmi Era dengan meraih lebih 1.4 juta tontonan di TikTok.
Dek kerana simpati, ramai pihak datang membantu Lisa, termasuk syasrikat tekstil dan pakaian, Jakel, yang turut menaja pakaian raya untuk mereka sekeluarga.