Bersyukur rai Syawal dalam suasana tenang, harmoni - Raja Nazrin
Bernama
Ogos 8, 2013 12:05 MYT
Ogos 8, 2013 12:05 MYT
Umat Islam di negara ini perlu bersyukur apabila dapat meraikan Syawal dalam keadaan tenang, aman dan harmoni berbanding apa yang sedang dialami masyarakat Islam di negara luar, titah Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah.
Baginda bertitah ini kerana suasana Syawal di negara ini jauh berbeza berbanding suasana sengketa yang sedang dialami oleh umat Islam di Mesir dan Syria, begitu juga penderitaan dan penindasan yang dilalui masyarakat Islam di Palestin dan Myanmar.
"Allah melimpahkan suasana riang sebaik Syawal muncul di ufuk. Betapa besarnya anugerah, apabila Syawal dapat diraikan dalam suasana aman lagi harmoni. Perbanyakan bertakbir dan bertahmid, tanda syukur atas nikmat yang telah dilimpahkan di bumi ini," titah baginda dalam perutusan Aidilfitri 1434H yang dikeluarkan.
Baginda mengajak seluruh umat Islam mengangkat lafaz syukur kepada Allah yang mengurniakan kesihatan dan ketabahan dalam menyempurnakan ibadah puasa sepanjang Ramadan.
"Berpuasa menguji kekuatan jasmani, minda dan rohani. Amalan puasa menyemai disiplin, membimbing insan mengawal nafsu. Manusia sering kali tergelincir ke lembah hina disebabkan gagal mengawal nafsu, hingga bersifat tamak haloba, melakukan pembaziran, mencetuskan persengketaan, merosakkan kehidupan," titah baginda.
Raja Nazrin turut bertitah amalan balik kampung oleh rakyat Malaysia untuk berkumpul di kampung halaman di samping budaya ziarah di kalangan saudara-mara, rakan taulan dan jiran tetangga ketika perayaan mencerminkan nilai kekeluargaan tersemai dengan subur.
Rumah terbuka Aidilfitri juga merupakan satu budaya unik, bukan sahaja di rumah kediaman malah organisasi dan institusi, yang mana ia menunjukkan sifat terbuka umat Islam yang dilebarkan dengan kesediaan menerima tetamu dengan pelbagai juadah istimewa, titah baginda.
"Lebih unik, kemeriahan sambutannya turut disertai oleh warga daripada pelbagai agama, pelbagai kaum. Aidilfitri berupaya memupuk semangat perpaduan, Aidilfitri adalah sebahagian dari warna-warna pelangi terlukis indah di ufuk negara," titah baginda.
Baginda juga bertitah dalam keriangan menyambut Syawal, pengorbanan yang dilakukan oleh pelbagai pihak dalam perkhidmatan bagi membolehkan Aidilfitri disambut meriah sewajarnya dihargai.
"Ketika majoriti warga Malaysia cuti berhari raya, terdapat rakyat Beta yang melaksanakan pelbagai tugas penting, antara mereka adalah anggota pasukan keselamatan seperti polis dan tentera.
"Begitu juga mereka yang diperlukan mengendalikan perkhidmatan 24 jam sehari merangkumi anggota bomba, kakitangan penjara, hospital, Imigresen dan Kastam.
"Kakitangan sektor pengangkutan, petugas di lebuh raya, warga media, radio dan televisyen, kakitangan hotel dan restoran serta pelbagai bidang perkhidmatan lagi. Mereka telah melakukan pengorbanan, bertugas menyempurnakan amanah ketika orang lain sedang berhari raya bersama keluarga," titah baginda.
Justeru itu, Raja Nazrin dan Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim menzahirkan penghargaan yang amat tinggi kepada mereka selain turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keluarga mereka yang turut melakukan pengorbanan menyambut Aidilfitri tanpa kehadiran suami, isteri, ayah, ibu, abang, kakak, adik atau anak tersayang.
"Semoga Allah merahmati mereka dan keluarga mereka. Semoga rakyat yang Beta kasihi akan dirahmati Allah menyambut Aidilfitri dalam suasana bersyukur, riang dan gembira.
"Semoga rakyat Beta akan terus mengukuhkan nilai-nilai keluarga, mempererat silaturahim sesama jiran tetangga serta rakan taulan. Semoga melalui sambutan Aidilfitri, persefahaman di kalangan warga Malaysia daripada pelbagai agama dan pelbagai kaum dapat terus dipupuk," titah baginda.