Bersyukur kerana berjaya berpuasa tanpa gangguan - Dr Mahathir
Bernama
Jun 4, 2019 22:40 MYT
Jun 4, 2019 22:40 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam supaya bersyukur kerana berjaya melaksanakan ibadat puasa tanpa sebarang gangguan, dan seterusnya dapat merayakan Aidilfitri yang disambut esok dengan sempurna.
Menurut beliau, ramai umat Islam tidak dapat berpuasa kerana keadaan di negara mereka yang tidak stabil, menghadapi kebuluran, bahkan mereka terdedah kepada ancaman, yang mungkin meragut nyawa dan menghadapi maut.
"Sebaliknya, kita di sini pada hari raya akan nikmati makanan dan juadah. Sesungguhnya nasib kita orang Islam di negara ini amatlah baik. Tanpa usaha dari kita pun, kita dapat banyak nikmat. Kita merayakan Hari Raya Aidilfitri dengan gembira dan senang-lenang di negara bertuah ini," katanya dalam perutusan Hari Raya Aidilfitri 2019 yang disiarkan di saluran televisyen tempatan malam ini.
Perdana menteri turut menasihati rakyat agar terus berusaha, kerana tanpa usaha tidak mungkin kita akan kekal selesa.
Katanya, Allah tidak akan memakbulkan doa dan permohonan kita, melainkan kita sendiri berusaha untuk memperbaiki nasib.
Dr Mahathir turut mengingatkan rakyat bahawa kesenangan yang dinikmati hari ini, turut disumbangkan mereka yang bekerja untuk kita, sama ada warga Malaysia atau asing.
"Merekalah yang menitikkan peluh berusaha supaya keperluan sampai kepada kita, termasuklah bekalan makanan. Tanpa mereka negara akan terus menjadi negara miskin yang tidak dapat dibangunkan," katanya.
Selain itu, Dr Mahathir berkata, umat Islam mesti mengutamakan keadilan serta membendung nafsu dan perlu bersabar.
"Kita tahu orang Islam itu adalah bersaudara. Tetapi kita lihat mereka sering bermusuh sehingga ke berperang sesama mereka. Kita dilarang membunuh, tetapi kita lihat ramai dari kita membunuh dan terbunuh.
"Tidak ada suatu yang lebih diutamakan oleh Islam daripada berlaku adil. Tetapi ramai dari kita menghukum tanpa periksa, mengenepikan keadilan," katanya.
Tambahnya lagi, umat Islam sekarang ini ditindas di mana-mana sahaja.
"Jika kita berpegang kepada kebenaran dan ajaran Islam seperti terdapat dalam Al-Quran, tentu kita akan sedar bahawa malapetaka yang menimpa kita disebabkan kita tolak tunjuk ajar, panduan dan nasihat yang terdapat dalam Al-Quran, wahyu dari Allah SWT," jelas Dr Mahathir. - BERNAMA