BERSIH yakin Bersatu akan bawa keputusan Speaker Dewan Rakyat ke mahkamah
Azyyati Ahmad
Julai 12, 2024 09:15 MYT
Julai 12, 2024 09:15 MYT
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) yakin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membawa keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ke mahkamah.
Tindakan itu diyakini BERSIH untuk Bersatu melihat tafsiran perundangan ke atas penguatkuasaan Akta Anti Lompat Parti dengan apa yang diputuskan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat atau Speaker.
Menurut Pengerusi BERSIH, Faisal Abdul Aziz, adalah penting untuk memahami kebimbangan rakyat apabila keputusan Speaker berkenaan kedudukan enam Ahli Parlimen (MP) Bersatu telah menatijahkan bahawa Akta Anti Lompat Parti ada kelompongan dan bakal membuka lebih banyak peluang lompat parti oleh ahli parlimen di masa hadapan.
Katanya, Speaker sepatutnya mengambil peluang untuk memperkasakan Akta Anti Lompat Parti apabila ia diuji di Dewan Rakyat dan menguatkuasakan sepenuhnya.
Bahkan, jelas Faisal, itu juga hasrat BERSIH yang secara prinsip mahukan Akta Anti Lompat Parti ini dikuatkuasakan sebaiknya.
"Ini yang menjadi kegusaran rakyat, kita tak lagi mahu perkara ini berlaku seperti Langkah Sheraton yang mana mandat rakyat itu tak dihormati.
“Tetapi dalam konteks ini, apabila berlaku situasi ini, ia menatijahkan atau memberi peluang akta ini dimanipulasi dan tidak dikuatkuasakan sepenuhnya sperti mana yang dihasratkan rakyat dan hansard Parlimen,
“Dalam konteks ini, melihat ke hadapan saya yakin Bersatu akan memfailkan keputusan ini di mahkamah, bagi memberi peluang kita melihat tafsiran mahkamah ke atas apa yang berlaku dalam konteks hari ini" katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
BERSIH merujuk kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat yang menyatakan kedudukan enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengingkari arahan parti kekal sebagai anggota Parlimen.
Keenam-enam mereka ialah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Datuk Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).
BERSIH dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam berkata, Perkara 49A(1) Perlembagaan Persekutuan menggariskan tiga sebab terhentinya seseorang ahli Dewan Rakyat iaitu apabila seseorang ahli Dewan Rakyat itu menukar parti, melepaskan keanggotaan parti dan tidak lagi menjadi ahli parti.
BERSIH juga menegaskan, Speaker Dewan Rakyat telah terkhilaf dalam memahami mekanisme Undang-Undang Anti-Lompat (UAL) ini serta telah membelakangkan prinsip dan hasrat penggubalan undang-undang tersebut, yang bakal membuka kepada pintu ketidakstabilan politik selepas ini.