BERSIH tuntut PDRM tidak guna gas pemedih mata
Rahimah Abdullah
Ogos 13, 2015 00:04 MYT
Ogos 13, 2015 00:04 MYT
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) menuntut pihak berkuasa tidak menggunakan gas pemedih mata semasa Perhimpunan Bersih 4.0 akhir bulan ini.
Pengerusinya, Maria Chin Abdullah berkata penggunaan gas itu tidak wajar digunakan dalam perhimpunan melibatkan orang awam.
"Mereka (polis) tidak janji mereka tidak akan guna gas pemedih mata. Namun, saya ada membangkitkan isu itu (gas pemedih mata).
"Sekurang-kurangnya mereka (polis) tahu apa yang tidak sepatutnya mereka buat," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainol di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi di ibu negara.
Beliau menyifatkan pertemuan itu sebagai satu perkembangan yang baik terutama dalam usaha memastikan perhimpunan itu diadakan secara aman.
"Mereka (PDRM) memberitahu apa yang mereka patut dan tidak patut buat (semasa perhimpunan)," jelas beliau.
Mengenai larangan polis agar peserta perhimpunan tidak melaungkan slogan mengutuk kerajaan, Maria Chin berkata laungan adalah sebahagian daripada perhimpunan.
"Polis tidak boleh menghentikannya. Kami akan kecewa jika pihak polis mengambil tindakan ke atas peserta," ujarnya.
Beliau bagaimanapun yakin perhimpunan Bersih 4.0 akan berjalan dengan lancar jika dibenarkan pihak berkuasa.
"Saya yakin dengan kerjasama pihak polis perhimpunan itu akan berjalan dengan baik,"
"Esok kita akan melancarkan program ini, dan kita akan utarakan semua perkara-perkara ini selain mengajak NGO untuk turut bersama dalam perhimpunan ini," kata beliau.
Bagaimanapun, Bersih juga mahu PDRM memastikan keganasan yang berlaku semasa Perhimpunan Bersih 3.0 tidak akan berulang semasa Perhimpunan Bersih 4.0 nanti.
"Bersih tidak mahu kejadian Perhimpunan Bersih 3.0 berulang. Semua itu sudah dibangkitkan kepada mereka (semasa pertemuan)," tambahnya.
Pada Rabu, Bersih menerima notis makluman Himpunan Bersih 4.0 yang meminta Pengerusinya bertemu dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi.
Pada pertemuan itu juga, Bersih diberi salinan borang Notis Pemberitahuan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 untuk diisi dan diserahkan kembali kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi.
Notis tersebut bersama dokumen-dokumen yang diperlukan akan diserahkan Bersih pada Jumaat atau Isnin depan.
Sebelum ini, Maria Chin menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam isu keselamatan pada Pesta Demokrasi Bersih 4 yang dijadual pada 29 sehingga 30 Ogos ini.
Jelasnya, paling penting keselamatan rakyat terjamin dan lalu lintas di ibu kota terkawal pada hari berkenaan.